PETALING JAYA: Pas berdiri teguh bersama Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam mendukung semua keputusan yang telah diputuskan Kabinet.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pihaknya tegas mendukung sistem Raja Berperlembagaan di dalam kerangka keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang.
“Pas menyeru semua pihak untuk kekal bersatu padu dan mengenepikan politiking dalam menguruskan negara ketika situasi pandemik Covid-19.
“Kestabilan politik serta perpaduan rakyat sangat diperlukan dalam menghadapi ancaman pandemik,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong menzahirkan rasa amat dukacita dengan kenyataan dibuat di Parlimen bahawa kerajaan membatalkan semua Ordinan Darurat yang telah dimasyhurkan.
Datuk Pengelola Bijaya Istana Diraja, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin dalam satu kenyataan berkata, ini sedangkan, pembatalan semua ordinan darurat belum mendapat perkenan daripada Seri Paduka.
Beliau berkata, Seri Paduka turut berdukacita kerana apa yang telah diperkenan dan dipersetujui sebelum ini dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun semasa majlis menghadap secara maya pada 24 Julai lalu.
Ia berkenaan cadangan pembatalan semua Ordinan Darurat dibentang dan dibahaskan di Parlimen bagi tujuan diungkaikan tidak dilaksanakan. – UTUSAN ONLINE