Parkir HTJ bakal jadi hospital hibrid - Utusan Malaysia

Parkir HTJ bakal jadi hospital hibrid

S. VEERAPAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Tempat meletak kereta di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) di sini bakal dijadikan sebagai lokasi hospital hibrid bagi menempatkan pesakit Covid-19 yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S. Veerapan berkata, perkara itu telah mendapat kelulusan daripada Kerajaan Persekutuan dan ia akan dilaksanakan dalam masa terdekat.

Menurutnya, pemilihan lokasi berkenaan dibuat berdasarkan rekod jumlah kes tertinggi di negeri ini adalah dari daerah Seremban selain kelebihan hospital berkenaan yang memiliki doktor-doktor pakar.

“Kemudahan ICU bagi menempatkan pesakit Covid-19 juga sudah melebihi daripada kapasiti yang terdapat di negeri ini. Di HTJ disediakan sebanyak 40 buah katil, di Hospital Tampin sebanyak 10 katil dan di Hospital Jempol pula sebanyak 10 katil.

“Kapasiti penggunaan katil ICU sudah penuh, sebagai langkah segera parkir di HTJ akan dijadikan sebagai hospital hibrid ICU yang akan menempatkan tambahan 10 lagi buah katil pesakit Covid-19,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Veerapan dalam pada itu berkata, sehingga semalam sebanyak 62 kluster terdapat di negeri ini dengan 53 kluster adalah merupakan kluster tempatan.

Menurutnya, berlaku peningkatan kes yang ketara di daerah Seremban susulan terdapat ujian saringan Covid-19 secara besar-besaran di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Negeri Sembilan mencatatkan tambahan sebanyak 1,603 kes baharu jangkitan Covid-19 daripada keseluruhan sebanyak 13,215 kes yang dilaporkan hari ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN