Pandemik politiking menyusahkan rakyat - Utusan Malaysia

Pandemik politiking menyusahkan rakyat

ABDUL HADI AWANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Selain ancaman virus Covid-19, politiking merupakan pandemik paling berbahaya hingga menyusahkan rakyat ekoran sikap pemimpin politik yang gila untuk berkuasa semula sehingga tidak mempedulikan wabak itu masih mengancam nyawa rakyat.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, meskipun Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengeluarkan amaran akan berlaku gelombang Covid-19 lebih berbahaya, tetapi situasi di Malaysia terjadi sebaliknya apabila pandemik politiking dengan virusnya merebak dengan cepat sejak kebelakangan ini.

Terbaharu katanya, pihak tersebut kini didakwa cuba berusaha menubuhkan jajaran baharu sehingga mengheret semua pihak termasuk Raja-Raja Melayu setelah langkah mereka sebelum ini menerusi surat akuan bersumpah (SD) ahli Parlimen dan usaha mengusulkan usul tidak percaya di Parlimen menemukan kegagalan.

Jelas beliau, Raja-Raja Melayu tidak wajar diheret berpolitiking kerana baginda mempunyai banyak tugas lebih penting daripada melayan kehendak mereka yang berpenyakit politiking itu.

“Ada pula mereka yang masih tidak sedar dirinya sudah jadi pembangkang dan bukan lagi kerajaan dengan berlagak membuat kenyataan seolah-olah masih berada di atas takhta.

“Kedua-dua pandemik tersebut (Covid-19 dan politiking) menyusahkan rakyat. Sepatutnya pandemik Covid-19 ditangani dengan penuh penumpuan oleh semua pihak bagi menjaga nyawa seluruh rakyat yang tidak boleh ditangguhkan lagi. Bahkan wajib tolong menolong kerana wabak ini tidak mengenal siapa tanpa mengira perbezaan agama, bangsa dan fahaman politik.

“Adapun peranan politik boleh ditunggu sehinggalah Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan, rakyat pula jangan mudah lupa sehingga ditipu berulang kali,” katanya dalam Minda Presiden Pas hari ini.

Ahli Parlimen Marang itu memberitahu, politiking bukan benda baharu dan ia mula tercetus sejak Pakatan Harapan (PH) memenangi Pilihan Raya Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dengan janji-janji palsu sehinggalah berjaya menubuhkan kerajaan yang membawa pendekatan liberal yang tidak sesuai dengan masyarakat negara ini.

Namun kata beliau, kerajaan itu akhirnya tumbang setelah dalam kalangan ahli Parlimen mereka kembali ke pangkal jalan bagi menyelamatkan negara.

Selain itu, Abdul Hadi berkata, mereka yang jahil agama sentiasa mencari kelemahan dan kekurangan untuk diuar-uarkan tanpa bersama-sama menolong menghadapi keadaan pandemik Covid-19 yang amat mencabar seluruh dunia.

Justeru beliau mengajak semua supaya melakukan muhasabah diri dan berikhtiar dengan akal dan ilmu dikurniakan oleh Allah dan mendapat pahala jika beriman manakala ada juga menanggung penderitaan di dunia dan akhirat kalau tidak beriman.

“Hanya kerajaan Allah Yang Maha Berkuasa dan Maha Sempurna boleh menghapuskan wabak ini pada bila-bila masa. Adapun kerajaan manusia tetap menghadapi kekurangan dan kelemahan serta wajib melakukan muhasabah bagi menampung kekurangan tersebut,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN