Orang Asli Kuala Koh lega kebajikan mereka dibela Maik

Orang Asli lega kebajikan terbela

MAIK mengagihkan bakul makanan kepada masyarakat Orang Asli di Kampung Kuala Koh, Gua Musang, Kelantan, hari ini. - FOTO/AIMUNI TUAN LAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Kira-kira 200 Orang Asli di Kampung Kuala Koh di sini, lega apabila kebajikan mereka sentiasa dijaga Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) ketika negara diancam Covid-19.

Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac tahun lalu hingga kini, sudah lapan kali agensi itu bersusah payah masuk ke kawasan penempatan mereka yang agak terpencil bagi mengagihkan bakul makanan.

Seorang penduduk, Rasidah Mohamad, 20, berkata, dia benar-benar berterima kasih kepada Maik kerana tidak pernah lupa untuk memberikan bantuan bakul makanan kepada mereka.

Katanya, penduduk kampung amat bersyukur apabila tidak lagi perlu keluar ke bandar dan memikirkan mengenai bekalan makanan kering selepas menerima bantuan bakul makanan itu.

“Maik telah membantu kami dengan memberikan bantuan bakul makanan sebanyak lapan kali sepanjang tempoh pandemik Covid-19 ini.

“Jarak Kampung Kuala Koh yang terletak hampir 100 kilometer dari bandar Gua Musang menyukarkan kami untuk mencari barangan asas terutamanya ketika kes jangkitan Covid-19 semakin meningkat ketika ini,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.

Sementara itu, Pegawai Dakwah Kanan Maik, Siti Farahida Fauzi berkata, Maik membelanjakan lebih RM1 juta bagi mengagihkan bakul makanan kepada masyarakat Orang Asli di negeri ini sejak Mac tahun lalu.

Menurutnya, menerusi bantuan yang memasuki fasa kelima kali ini, Maik sekali lagi mengagihkan bantuan bakul makanan kepada 4,550 Ketua Isi Rumah (KIR) Orang Asli yang terjejas akibat penularan wabak Covid-19.

Katanya, bantuan barangan makanan bernilai RM300,00 itu melibatkan komuniti Orang Asli yang tinggal di sekitar 21 buah pos penempatan.

“Bantuan barangan makanan asas itu melibatkan Orang Asli beragama Islam dan bukan Islam.

“Penghantaran barangan telah dilakukan ke kampung Orang Asli berkenaan sejak Ahad lalu dengan bantuan agensi kerajaan termasuklah Jabatan Kemajuan Orang Asli,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN