TELUK INTAN: Kecuaian seorang lelaki meninggalkan kereta tanpa dimatikan enjin mengundang padah apabila kenderaan itu dilarikan penjenayah dalam kejadian di Jalan Raja di sini kelmarin.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, kejadian pada pukul 4 petang itu berlaku ketika mangsa berusia 40 tahun meninggalkan keretanya untuk membeli makanan di seberang jalan.
Katanya, kehadiran lelaki tidak dikenali di dalam kereta jenis Toyota Altis itu hanya disedari ketika mangsa membuka pintu penumpang hadapan untuk meletakkan makanan.
“Menyedari kereta ingin dicuri, mangsa yang juga seorang tukang masak sempat berpaut pada pintu penumpang bahagian hadapan, namun pegangan lelaki itu terlepas dan dia terjatuh di atas jalan.
“Kejadian itu menyebabkan mangsa cedera di beberapa bahagian badan termasuk kaki, tangan dan muka hingga terpaksa menerima rawatan di Hospital Anson Bay,” katanya.
Menurut beliau, berdasarkan maklumat yang diberitahu mangsa, penjenayah yang belum dikenal pasti identiti itu memakai topi dan pelitup muka.
Katanya, tempat kejadian merupakan tepi jalan raya utama dengan dikelilingi bangunan kedai namun tiada kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi berkenaan.
“Hasil hebahan kepada anggota dan maklumat awam, kereta itu berjaya ditemukan di tepi jalan besar dekat Jalan Sungai Tunku di sini pada pukul 7 petang.
“Bagaimanapun, suspek dipercayai telah melarikan diri. Usaha mengesan suspek sedang dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun hingga menyebabkan kecederaan,” katanya.