Nelayan bimbang kelibat 'sang bedal' di Sungai Sayong - Utusan Malaysia

Nelayan bimbang kelibat ‘sang bedal’ di Sungai Sayong

KELIBAT buaya yang merisaukan penduduk terutama para nelayan yang menjadikan Sungai Sayong sebagai lokasi mencari rezeki di Kota Tinggi, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Kelibat buaya yang muncul di Sungai Sayong, di sini mengundang rasa khuatir dalam kalangan nelayan yang mencari rezeki di sungai tersebut.

Penduduk, Jasni Amat, 44, berkata, nelayan darat sangat bimbang dengan kewujudan reptilia itu apatah lagi kerap terserempak buaya di sepanjang Ulu Sungai Johor sejak dua bulan ini.

“Bukan setakat di Jeti Kampung Orang Asli ini sahaja, buaya juga selalu timbul di Sungai Telor sehingga ke Ulu Sungai Sayong.

“Kami para nelayan amat bimbang dan takut ia mengganas terhadap nelayan sungai kerana waktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini di sungai inilah kami mencari hasil sebagai mata pencarian.

“Nelayan kerap ternampak kelibat buaya sejak dua bulan ini kerana disyaki habitat asalnya telah musnah kerana kerja perlombongan yang dijalankan,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Panti, Hahasrin Hashim berkata, susulan aduan diterima berkaitan perkara itu, beliau telah melakukan sendiri tinjauan di sungai berkenaan.

“Nelayan darat menyatakan kebimbangan selepas ternampak kelibat buaya di sepanjang Sungai Sayong.

“Susulan itu pihak saya juga telah melaporkan kejadian ini kepada pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) daerah untuk mendapatkan kerjasama dan tindakan.

“Pihak Perhilitan akan membuat lawatan dan tindakan sewajarnya dengan segera,” katanya selepas melakukan tinjauan di dataran tepi Sungai Sayong di Kampung Orang Asli Sayong Pinang.

Hahasrin berkata, situasi itu diharap perlu diteliti kerana jajaran sungai tersebut merupakan salah satu kawasan kegiatan ekonomi setempat.

Katanya, pada masa sama para nelayan juga perlukan jaminan tahap keselamatan untuk terus menangkap hasil di sungai tersebut.

“Saya turut berharap nelayan darat dapat berhati-hati dan mengutamakan keselamatan ketika melakukan aktiviti di sungai berkenaan,” katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Perhilitan Johor, Aminuddin Jamin berkata, pihaknya akan melakukan siasatan terhadap perkara tersebut. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN