SHAH ALAM: Kerajaan negeri, pengusaha kilang dan syarikat swasta lain termasuk syarikat milik kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) berpeluang membeli vaksin secara terus daripada Pharmaniaga Berhad (Pharmaniaga) tidak lama lagi.
Pembelian itu boleh dibuat apabila kerajaan membenarkan Pharmaniaga mengeluarkan 14 juta vaksin lagi bagi mempercepat proses vaksinasi di negara ini berikutan permintaan daripada negeri dan beberapa syarikat swasta bersedia membelinya.
Perkara itu dimaklumkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang memberitahu, penjualan itu akan dilakukan Pharmaniaga dengan setiap permohonan akan dinilai dan diteliti Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) bagi mengelakkan wujudnya monopoli oleh mana-mani pihak.
“Sebagai contoh Selangor, sudah lama meminta supaya Pharmaniaga jual terus kepada mereka, tetapi JKJAV mempunyai jadual pemberian mereka sendiri, jadi sebab itulah belum boleh berikan secara terus kepada negeri yang berminat.
“Bagaimanapun, sekarang sudah mendapat kebenaran daripada pihak JKJAV untuk dijual secara terus kepada negeri yang ingin membeli secara terus. Saya percaya apa yang dilakukan Pharmaniaga dapat membantu kerajaan untuk mempercepatkan proses vaksinasi seperti yang dirancang,” katanya
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar ketika menghadiri sesi penyerahan kelompok terakhir bekalan vaksin Covid-19 Sinovac daripada Pharmaniaga kepada Kementerian Kesihatan (KKM) di sini hari ini. Turut hadir, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba
Ismail Sabri menambah, penyerahan kelompok akhir vaksin itu dibuat lebih awal berbanding tempoh yang disasarkan iaitu pada November nanti.
Dalam pada itu, Ismail Sabri turut memaklumkan jumlah keseluruhan vaksin yang dikeluarkan setakat ini adalah sebanyak 12.4 juta sudah pun diserahkan secara berperingkat sejak Mei lepas serta 2 juta tambahan yang diluluskan pada 19 Julai lalu melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).
“Yang terbaharu, pihak kerajaan juga memohon (Pharmaniaga) untuk bekalkan sebanyak 2 juta lagi dan mendapat kelulusan daripada pihak kerajaan untuk mereka bekalkan lagi. Jadi semua sekali menjadi 14.4 juta.
“Pada bulan ini, Pharmaniaga akan mengedarkan 5.18 juta, Ogos (5.17 juta), September (5.711 juta), jadi kita ada semua sekali 16 juta, seperti saya kata tadi 2 juta akan diserahkan kepada kerajaan,” jelasnya.
Sehubungan itu, beliau sekali lagi menegaskan vaksin Sinovac dijamin halal dan meminta orang ramai tidak mempercayai dakwaan tidak berasas daripada pihak yang sengaja menimbulkan isu berkenaan. – UTUSAN ONLINE










