Negara perlu pemimpin berwibawa, dihormati - Utusan Malaysia

Negara perlu pemimpin berwibawa, dihormati

JOHARI ABDUL GHANI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEKAS Menteri Kewangan II, DATUK SERI JOHARI ABDUL GHANI yang juga Pengerusi Perhubungan Umno Wilayah Persekutuan dan ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO apabila bercakap, biasanya berasaskan kepada fakta.

Dalam satu wawancara Jumaat lalu, beliau meluahkan apa yang terbuku bila menegaskan Malaysia amat memerlukan karakter pemimpin yang bukan sahaja mampu, bahkan perlu berani mengambil pendekatan berbeza bagi menyelesaikan krisis politik, kesihatan dan ekonomi yang sedang melanda negara.

Bercakap kepada wartawan Mingguan Malaysia, ZULKIFLI JALIL dan NIZAM YATIM serta jurugambar, FAUZI BAHARUDIN di Kuala Lumpur, beliau menegaskan, hanya pemimpin berwibawa dan dihormati menjadi satu-satunya jalan keluar Malaysia daripada krisis yang membadai negara hari ini.

Ikuti temu bual sejam ini.

MINGGUAN MALAYSIA: Pada pandangan Datuk Seri, apa yang tidak kena dengan negara kita ketika ini?
JOHARI ABDUL GHANI: Kalau kita tengok hari ini, negara kita berdepan dengan tiga masalah kritikal. Satu, kita berdepan dengan krisis politik apabila ahli-ahli Parlimen yang menyokong kerajaan dan tidak menyokong kerajaan saling bertelagah antara satu sama lain. Kerana seorang mengatakan dia ada majoriti dan yang seorang lagi tak ada majoriti.

Jadi, ini menyebabkan orang melihat senario politik tidak stabil. Bila keadaan tidak stabil dari segi politik sesebuah negara, ia akan menyebabkan macam-macam benda kita susah nak buat.
Saya nak ingatkan orang-orang Melayu supaya tidak bergasak sesama sendiri sehingga yang menang jadi arang, kalah jadi abu, menang sorak kampung tergadai.

Nombor dua, dari segi krisis kesihatan iaitu pandemik Covid-19. Bukan sahaja kita, malah seluruh dunia juga berdepan. Tinggal lagi beza di antara sebahagian negara yang berjaya mengatasi krisis ini dengan yang tidak berjaya adalah bergantung kepada kepimpinan negara tersebut.

Kalau kita boleh mentadbir negara ini dengan penuh kewibawaan dan kita dapat menyatupadukan pemimpin-pemimpin di setiap peringkat untuk mengatasi Covid-19 ini, dan juga (mendapatkan) pandangan sama ada daripada pihak kerajaan atau pembangkang, saya rasa krisis kesihatan ini boleh ditadbir dengan sempurna.

Akhir sekali, ialah kesan daripada ketidakstabilan politik dan krisis kesihatan ini, akan melahirkan krisis ekonomi.

Krisis ekonomi ini sangat serius. Kalau kita tidak kendalikan dengan betul, dia seolah-olah macam sebuah kereta yang berjalan, tiba-tiba kita berhenti, lepas itu kita tak berjalan, kita undur ke belakang. Jadi bila kita nak menggerakkan balik ekonomi ini, ia akan menjadi satu masalah yang besar.

Jadi tiga krisis politik, kesihatan dan ekonomi berlaku dalam masa yang sama. Ini memerlukan pendekatan yang amat berbeza untuk mengatasi ketiga-tiga krisis ini.

JOHARI Abdul Ghani pada sesi temu bual dengan Mingguan Malaysia pada 19 Julai 2021.

STRATEGI TIDAK BERKESAN

Apakah yang tidak kena sehingga kes jangkitan mencecah sehingga 13,215 pada Khamis lalu?
Malangnya selepas lebih enam bulan, kita bagi darurat (berjalan), tiada sidang Parlimen, kita bagi autonomi penuh kepada kerajaan, kadar jangkitan ini terus meningkat.

Kalau tidak silap saya ikut statistik yang terbaharu, kes-kes aktif melebihi 100,000; kes jangkitan hampir lebih 880,000; kemudian kadar kematian Covid-19 ini sudah mencecah lebih daripada 6,600 orang.

Jadi, ini satu angka sangat besar berbanding dengan jumlah penduduk kita. Jadi, sudah tentu apa yang kita lakukan selama ini, mungkin strategi yang kita guna pakai itu tidak efektif. Mungkin tidak memberi kesan yang baik.

Sebab itu, kita perlu mempelajari daripada negara-negara yang terdahulu yang mendapat kesan pandemik ini. Contoh China, ada lebih 1.2 bilion penduduk, tetapi mereka boleh menangani Covid-19 ini begitu sempurna dan baik.

Pada penghujung hari, pandemik ini semuanya mengenai bagaimana pemimpin negara menguruskannya dengan melihat berbagai-bagai pilihan (yang ada).

Sebab itu, kita memerlukan leadership (kepimpinan) yang efektif, yang dihormati. Tak boleh kita ada dalam satu Kabinet, bila satu menteri buka kilang, satu menteri tutup kilang, tak boleh macam tu. Bila ada kepimpinan yang baik dan cekap, mana-mana ada pertikaian dalam kalangan menteri, kita buat keputusan yang jelas. Tak boleh double standard (pilih kasih) dari segi pematuhan SOP.

Jika ini berterusan lama-kelamaan kalau kita tidak menyelesaikan perkara ini dan kita tidak mentadbir dengan secara sistematik, maka orang akan hilang keyakinan kepada kerajaan.

BAKUL MAKANAN

Boleh komen program Bakul Prihatin Negara yang telah dilancar Perdana Menteri baru-baru ini?

Adakah beri bakul makanan itu sudah cukup untuk menunjukkan bahawa kita telah cukup perihatin terhadap kepentingan orang susah. Mengagihkan barangan keperluan (kepada rakyat) yang terdiri dalam kalangan orang susah mungkin ia satu keperluan tetapi sampai bila bakul makanan ini boleh diberi?

Kepada golongan berpendapatan sederhana (M40) dan tinggi (T20) mungkin bakul makanan tidak penting. Yang penting bila mereka boleh mendapatkan pengeluaran EPF mereka secepat mungkin, sama ada berapa lama mereka boleh mendapatkan moratorium pembayaran pinjaman bank mereka sekiranya pandemik ini berterusan.

Walaupun saya bukan lagi wakil rakyat, setakat ini saya telah mengedarkan 40,000 bakul makanan kepada penduduk
Projek Perumahan Rakyat (PPR) di kawasan saya. Kita bantu setakat mana yang mampu.

Apa yang saya nak tekankan, kita berada dalam keadaan ini kerana sektor ekonomi informal tak boleh berjalan dan sektor formal terjejas dengan pemberhentian pekerja melonjak begitu tinggi. Setakat ini kadar pengangguran mencecah lima peratus atau 800,000 orang.

Kalau kita bagi bakul bulan ini, lepas itu bulan kedua tak ada bakul dan mereka tiada kerja macam mana? Ini pun nak kena faham.

UTAMA PEKERJA ASING

Berkesankah langkah kerajaan mengatasi krisis ekonomi?
Yang saya pelik, kilang-kilang yang banyak pekerja asing dibenar beroperasi, tetapi sektor informal yang kecil-kecil ini, yang lebih banyak melibatkan rakyat kita, tidak boleh buka, mana logiknya?

Kalau nak benar kilang beroperasi, pertama, kena buat ujian besar-besaran setiap dua minggu dan kedua, kena beri keutamaan pekerja mendapat vaksin dan syarikat yang ingin beroperasi mesti membayar kos vaksin pekerja mereka walaupun ia melibatkan pekerja asing. Jika tidak jangan benarkan mereka buka kilang.

Krisis pandemik Covid-19 ini berbeza dengan krisis yang pernah kita lalui sewaktu berhadapan dengan Krisis Kewangan Asia dan Krisis Kewangan Global. Oleh itu mengatasi krisis ekonomi ini memerlukan pendekatan yang berbeza. Kalau nak buka sektor formal dan informal, kita kena beri keutamaan kepada pekerja untuk mendapat vaksin dan ujian saringan secara berterusan. Mungkin sudah masanya kerajaan kena benarkan penggunaan ‘rapid test kit’ yang boleh dibuat sendiri di rumah yang banyak negara sudah pakai.

Kita juga perlu menggunakan ubatan generik sampingan yang pernah diguna pakai oleh negara-negara lain seperti Evermectin tablet dan lain-lain, yang diluluskan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Apa yang kita nak sekat-sekat atau mengambil masa yang terlalu lama untuk diluluskan. Kemudian nak buat lockdown, tak boleh buat blanket lockdown seluruh Lembah Klang. Kena kawasan panas (sahaja), kalau tidak, tak payah lockdown. Tidak ada kesan pun dan kes masih meningkat juga.

DEFISIT KEPERCAYAAN

Dewan Perniagaan dan Industri Malaysia-Jerman (MGCC) serta beberapa dewan lain telah menyuarakan supaya kerajaan membuat pendekatan mesra perniagaan dan ini sudah tentu ada kaitan dengan trust deficit?
Oleh kerana dasar kita flip-flop, mereka keliru sedangkan sebahagian daripada mereka datang ke negara kita sebagai pelabur jangka panjang.

Sebenarnya bagi mengatasi defisit kepercayaan ini, pertama, kita kena tunjuk kepada mereka kita mempunyai kestabilan politik. Nombor dua, kita (tunjuk) mengamalkan proses demokrasi yang begitu telus apabila Parlimen tidak ditutup dan terus bersidang. Tidak payah nak tunggu YDPA untuk mengarahkan kita bersidang.

Nombor tiga, kena ada menteri-menteri yang mengendalikan pelabur-pelabur ini. Kalau kita tidak memberi tumpuan kepada isu yang dibangkitkan oleh syarikat yang menjadi ahli dewan ini ia akan menimbulkan masalahlah.

Kalau menteri tak boleh nak kendalikan mereka ini maka Perdana Menteri (PM) pergilah jumpa dengan dewan-dewan perniagaan ini, kerana mereka semua pelabur jangka panjang yang menyediakan pekerjaan untuk rakyat kita.

Pelabur yang ada dalam negara kita tak jaga, kita sibuk pergi ke luar negara nak cari pelabur baharu. Dalam keadaan pandemik yang begitu kritikal hari ini tidak ada pelabur luar yang nak datang negara kita. Jangan kita jadi macam peribahasa Melayu yang dikejar tak dapat yang dikendong keciciran. Tumpukan yang dah ada dalam negara supaya mereka tidak lari keluar.

ANGKARA UMNO

Ada yang menuduh kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak stabil ini kerana angkara UMNO, sekejap sokong dan selepas itu tidak sokong?
Kalau kita tengok, gentleman (budiman) atau tak UMNO ini. UMNO masa PRU-14 menang 54 kerusi. Kemudian 15 kerusi kena ‘curi’. Tapi kita steady, masih kita sokong (Tan Sri Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu) lagi walaupun 15 ahli Parlimen kita kena curi pergi kepada Bersatu. Budget bulan Oktober 2020 yang dibentangkan kita sokong secara keseluruhan. Tak adil jugak ke?

UMNO masih menyokong PN, kita (hanya) tak sokong Tan Sri Muhyiddin sebagai PM. Carilah orang lain ganti. Mereka yang lebih berwibawa dan cemerlang untuk mengendalikan krisis yang dasyat ini. Sudah 17 bulan kita beri peluang tapi masih gagal.

Kalau ditanya kedudukan UMNO dalam PN. Dari mula ditubuhkan PN, UMNO tak pernah bersetuju penubuhan ini. Kita menyokong, disebabkan kita mengambil maklum keadaan hari ini tidak mengizinkan pilihan raya diadakan.

Takkan kita nak tunggu 16 bulan lagi (tarikh PRU-15 mesti diadakan) untuk mencari pengganti PM. Melainkan kalau hari ini semua MP mengisytiharkan tidak ada lagi orang yang layak untuk menjadi PM dalam kerajaan PN ini, hanya Tan Sri Muhyiddin sahaja. Kalau begitu ikutlah suara majoriti. Bentanglah di Parlimen supaya rakyat dan pelabur di luar sana yakin terhadap kepimpinan PM.

KERJASAMA DENGAN PAS

Adakah harapan masih disandarkan kepada Muafakat Nasional (MN)?
UMNO tidak pernah berganjak daripada MN. Yang lari daripada MN ini Pas.

Adakah Datuk Seri yakin Pas akan kembali kepada MN?
Kita doalah beramai-ramai, supaya Pas kembali kepada MN dalam erti kata kembali yang sebenar.

PRESIDEN UMNO

Bagaimana pula soal kepimpinan dalam UMNO sendiri?
UMNO sangat mudah. Saya sendiri jumpa Datuk Zahid (Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi), lama dah dan saya cakap, Sir you buat benda ini semua, you nak jadi PM ke? Dia cakap: “Saya tidak ada niat sama sekali mengejar (jawatan) PM. Saya akan membersihkan diri saya dan menyelesaikan kes mahkamah saya. Kalau saya tak sayang parti dah lama saya gadai jawatan ini kepada Tun Mahathir.

“Jo (Johari), saya ialah Presiden yang dipilih oleh akar umbi. Apabila tiba masa, saya tahu apa nak buat. Sementara ini, jangan bercakap mengenai jawatan saya. Saya benarkan ahli-ahli Parlimen UMNO buat kerja untuk kerajaan.”

Tak ada masalah dan beliau faham keadaan hari ini tidak mengizinkan pilihan raya.

Beliau mengulangi beberapa kali dalam mesyuarat MKT bahawa Presiden Umno tidak sesekali menukar keputusan serta mandat yang telah diberi oleh ahli-ahli semasa PAU lalu.

Bagi saya dia satu-satunya Presiden UMNO yang mentadbir parti besar ini tanpa ada sebarang jawatan (dalam kerajaan). Kalau sebelum ini semua Presiden Umno memegang jawatan PM. Jadi tidak hairanlah saya jika ramai Menteri Umno kurang menghormati beliau. Cabaran yang dilalui beliau besar, tetapi masih boleh hold UMNO together.

JAWATAN TPM

Adakah ada dalam kalangan pemimpin UMNO atau PN yang boleh ganti Tan Sri Muhyiddin?
Terdapat ramai nama besar lain yang berada dalam Bersatu, Pas, GPS dan UMNO ini adakah mereka tak layak? Takkan 112 ahli Parlimen yang menyokong PN, tak ada seorang pun yang layak jadi PM?

Ini pun baru lantik Timbalan Perdana Menteri (TPM), sebelum itu masa Tan Sri Muhyiddin masuk hospital, TPM pun tak ada. Macam mana kita mentadbir negara, apabila tiada ketua?

 

Bukankah UMNO sudah lama minta jawatan TPM, kenapa baru sekarang dilantik?
Itu you kena tanyalah orang yang melantik. Harapan saya tiada muslihat tersirat dalam pelantikan ini.

Adakah pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menggembirakan UMNO?
Sebenarnya UMNO gembiralah Datuk Seri Ismail ini dilantik menjadi TPM sebab saya rasa dia orang yang layak untuk menjadi TPM.

Tetapi saya rasa agak terkilan, kenapa sejak Mac 2020 sehingga pelantikan ini dibuat, hampir 15 atau 16 bulan, tak diisi TPM ini?

Sehingga UMNO buat keputusan di mesyuarat MKT di Janda Baik, Pahang pada Februari lalu bahawa kita tidak mahu menerima jawatan TPM. Sampai sekarang belum ‘reverse’ lagi keputusan MKT ini. Tak ada pula pemimpin umno bising pasal UMNO tak mengikut keputusan MKT yang diputuskan sebelum ini. Bab ini saya rasa kita tidak konsisten.

Maknanya orang yang menerima pelantikan ini melanggar keputusan parti?
Pergi interviu dialah.

ELAK PERPECAHAN

Kenapa wujud beberapa kumpulan dalam UMNO?
Sebenarnya, bila kita masuk dalam parti politik, yang paling penting kita mesti sepakat parti itu lebih besar daripada pemimpin, ahli atau individu. Keputusan parti bukan keputusan Presiden.
Kita mesti pastikan bahawa bila parti buat keputusan, kita akur. Kalau kita tidak akur kepada keputusan parti bermakna bermasalahlah parti kita. Apabila semua orang nak ikut kepala masing-masing susah lah.

Saya pun waktu Datuk Zahid bertanding Presiden, saya tak sokong dia. Saya sokong Tengku Razaleigh (Hamzah). Tetapi apabila habis pertandingan, Tengku Razaleigh kalah, Datuk Zahid menang, saya akurlah pasal saya menghormati keputusan parti. Saya tidak pernah bermusuh dengan Datuk Zahid, sebab saya hormat majoriti orang mengundi beliau, saya sokonglah. Yang penting parti tidak berpecah. Kalau ada di antara kita tidak suka Presiden tunggulah pemilihan parti akan datang.

Bagaimanakah kita hendak ubah persepsi negatif masyarakat terhadap UMNO?
Kena balik kepada perjuangan asal UMNO untuk memartabatkan bangsa, agama dan negara. Lain daripada tiga ini kalau kita teringin nak buat juga eloklah kita duduk di luar parti.
Kalau kita boleh tumpukan semula perjuangan asal parti kita, saya yakin, kita pun boleh dapat balik (ketuai kerajaan). Kalau kita masih juga membawa budaya warlord ini dalam parti ramai anak-anak muda profesional, bijak pandai di luar sana tidak akan meminati parti ini. Kalau kita lihat PH mempunyai 22 ahli Parlimen mereka berumur 45 tahun ke bawah manakala PN hanya ada dua sahaja.

Kita sudah menang 13 kali, mereka menang sekali, bila kita kalah sekali, kita semua lari, tak bolehlah macam tu. Kalau berterusan bergini hancurlah parti. Dalam soal ini kita kena belajar dari parti lawan. DAP pada PRU 2004 hanya menang 12 kerusi Parlimen sahaja tetapi mereka tetap tidak berganjak dari perjuangan mereka akhirnya menang 42 kerusi pada PRU 2018 yang lalu. Begitu juga PKR mereka menang hanya satu kerusi pada PRU 2004 tetapi pada PRU 2018 mereka menang 50 kerusi.

HARAPAN

Harapan mengenai masa depan Malaysia?
Harapan saya Malaysia ini masih ada harapan. Kita tidaklah seteruk mana. Tetapi kalau kita tidak dapat belajar daripada kesilapan selama 17 bulan menangani Covid ini, kemungkinan besar kita akan berdepan dengan keadaan lebih sukar.

Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kita jatuh -5.6 peratus pada 2020 kesan daripada satu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Tetapi pada 2021 kita sudah ada dua PKP, kalau masih berterusan dengan PKP, Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan lain-lain, saya tak tahu sama ada ekonomi ini (boleh bertahan) dan keyakinan pelabur boleh berterusan atau tidak.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya