“TAHU apa yang kelakar? Suruh orang lain jangan asyik berpolitik, fokus pada masalah rakyat konon, tapi dia sendiri sibuk cerita pasal siapa sokong siapa dan pilihan raya umum.
“Lepas itu, bila menolong orang susah, cetak logo parti pada bungkusan dan tayang dalam media sosial. Ikhlas ke nak tolong? Cari publisiti saja. Dua kali limalah,” kata seorang kawan pada pagi Isnin lalu.
Ya, hari yang orang suka kaitkan dengan Monday Blues. Bukan saya. Hari apa pun sama saja pada saya, lebih-lebih lagi bila lama duduk di rumah.
Lantas, saya pun jawab sepuluh. Jawapan untuk sifir itu.
Memang agak semak kepala bila membaca kenyataan beberapa pemimpin parti politik ketika pandemik Covid-19 sedang menggila ini.
Ada sahaja cerita berebut kuasa dan pertelagahan memburuk-burukkan pihak lawan macam negara ketika ini sedang dilanda demam selesema biasa saja dibuatnya. Mungkin belum kena. Kalau sudah kena, boleh jadi diamlah sebulan dua.
Yang peliknya, bila menasihati musuh politik mereka, bukan main lagi tetapi diri sendiri pun asyik berpolitik. Mengajak berdamai dan bersatu untuk menyelesaikan masalah rakyat tetapi kemudian dia juga mencetuskan pertelagahan dan catur-mencatur dalam kenyataan-kenyataannya dalam media.
Jadi, memang betullah kata orang, selain kerja mencari kesalahan orang lain, menasihati orang lain juga sebenarnya kerja paling senang dalam dunia. Tetapi biasanya diri sendiri pun tidak makan nasihat. Itu masalahnya. Ya, ini yang dikatakan nasi makan, nasihat tak makan.
Dalam situasi getir sekarang, ini adalah masanya untuk setiap pemimpin yang semuanya mengaku memperjuangkan nasib rakyat, mengotakan kata dan janji membantu orang ramai.
Dan jika perkara yang nampak mustahil tetapi sebenarnya tidak ini berlaku, mungkin sejuklah sedikit suhu kemarahan rakyat yang ketika ini sama menggelegak dengan bahang kepanasan negara ketika ini.
- “Rakyat sedang sibuk fikir macam mana hendak cari makan, pemimpin politik pula sibuk fikir macam mana nak dapat jawatan.”
- “Asyik cerita politik, selesaikan dulu hal Covid ini. Kami dah jemu duduk rumah.”
- “ Sudahlah sembang kari, kami Maggi pun tak mampu beli.”
Itu antara komen netizen yang saya petik dalam kenyataan beberapa pemimpin politik baru-baru ini dalam media sosial.
Sebenarnya kalau pemimpin parti politik membaca sendiri komen-komen rakyat dalam media sosial setiap kali mereka mengeluarkan kenyataan atau berita mereka disiarkan, itu saja boleh dijadikan petanda rakyat sudah muak dan boleh ‘jatuh benci’ pula pada mereka. Ini sedikit sebanyak memberi isyarat riwayat politik mereka bakal tamat dalam pilihan raya umum akan datang jika tidak ‘kembali bekerja’.
Sebab itu, ada pemimpin yang menutup ruang komen dalam media sosial kerana tidak sanggup membaca kecaman demi kecaman rakyat. Sudah macam artis pula. Sebelum ini artis saja yang suka buat begitu apabila berlaku sesuatu kontroversi.
Jangan hidup dalam sindrom penafian dengan memikirkan sentiasa mempunyai penyokong dan mendapat sokongan. Kalau tidak buat kerja dan tidak turun padang dalam keadaan genting begini adakah rakyat akan ‘jatuh suka’ dan mengundi mereka lagi pada pilihan raya akan datang?
Tak akan hanya mengharapkan Ustaz Ebit Lew, badan bukan kerajaan (NGO) dan pihak persendirian menghulurkan bantuan kepada orang ramai manakala pihak yang mereka undi hanya tahu bercakap saja dalam media sosial?
Sementelahan pula peruntukan untuk membantu rakyat juga sudah diberikan kerajaan tanpa mengira bendera parti politik. Gunakanlah peruntukan itu untuk membantu.
Tapi perlu diingat, rakyat bukan setakat perlukan makanan, mereka mahukan pekerjaan untuk membayar tempat tinggal dan pelbagai bil bulanan. Ini yang harus difikirkan macam mana hendak bantu mereka yang hilang pekerjaan akibat pandemik ini.
Justeru, inilah masanya untuk bekerja. Sekarang adalah masa untuk sama-sama tidak kira parti pemerintah atau pembangkang bekerja mengekang pandemik Covid-19, bukan suruh rakyat duduk di rumah tetapi mereka ini pula bebas merentas negeri dan ke luar negara untuk tujuan peribadi.
Ini adalah masanya memasang strategi membantu rakyat yang terkesan, bukannya mengatur strategi menjatuhkan musuh politik. Mengata pihak itu gagal, orang ini gagal, orang itu gagal, tidak memberi sebarang manfaat pada waktu ini.
Maka apabila Imam Besar Masjid Negara, Ehsan Mohd. Hosni dalam Khutbah Solat Sunat Aidiladha Selasa lalu meminta ahli-ahli politik supaya tidak bercakaran ketika ini dan bersimpati kepada rakyat dengan memberi tumpuan kepada rakyat, ia seharusnya dihayati oleh pemimpin.
Beliau mengingatkan semua pihak khususnya pemimpin supaya menghentikan percakaran yang disifatkan sebagai sia-sia. Bersimpatilah terhadap rakyat dan janganlah kerana ketamakan itu menyebabkan rakyat pula menjadi mangsa.
“Bagaimanakah Allah SWT mahu memperkenan doa kita dan menurunkan rahmat-Nya selagi kita masih bergelumang dengan dosa, kemaksiatan dan perpecahan,” kata Ehsan.
Seharusnya peringatan yang ‘makan dalam’ ini dihadam oleh semua pemimpin. Berhentilah mencari sengketa hanya untuk kepentingan sendiri.
Kehidupan rakyat banyak yang sudah terjejas – hilang ahli keluarga, hilang kerja, hilang tempat tinggal dan ada juga hilang pertimbangan dalam pandemik ini. Jadi, setakat mereka hilang pemimpin yang lebih bercakap daripada bekerja ini, apalah sangat.
PENULIS ialah Pengarang Berita Mingguan Malaysia.