MANJUNG: Aplikasi MyManjung merupakan inisiatif Majlis Perbandaran Manjung (MPM) bagi memudahkan orang ramai melakukan pelbagai urusan dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu dengan hanya di hujung jari.
MPM dalam kenyataan memaklumkan, aplikasi itu merupakan gerbang perkhidmatan atas talian bagi memberikan ruang kepada para pelanggan melakukan transaksi tanpa tunai, lebih pantas dan mudah serta pada bila-bila masa tanpa perlu datang ke pejabat.
“Langkah ini dilaksanakan sebagai penambahbaikan terhadap sistem penyampaian perkhidmatan MPM kepada masyarakat dan selaras dengan usaha membendung penularan wabak Covid-19 yang tidak menggalakkan urusan pelanggan dilaksanakan secara fizikal di kaunter.
“Aplikasi MyManjung juga adalah langkah pertama MPM menuju bandar pintar dan akan terus dikembangkan dengan pelbagai modul secara bersepadu,” kata kenyataan itu hari ini.
Terdahulu, kenyataan memaklumkan Majlis Pelancaran Aplikasi MyManjung telah disempurnakan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abd. Rahim yang dilakukan secara atas talian melalui aplikasi Zoom.
Menurut MPM, MyManjung terbahagi kepada dua versi iaitu versi laman web yang telah beroperasi mulai 1 Julai lalu manakala aplikasi telefon pula boleh diakses mulai melalui Google Play Store bermula dan Apple Store pula pada bulan depan.
“Pembangunan MyManjung dipecahkan kepada tiga fasa yang mengandungi perkhidmatan utama MPM iaitu pertama dibangunkan dengan memfokuskan pembangunan ke arah perkhidmatan semakan akaun, pembayaran, cetakan, aduan dan penjaja manakala pada Ogos ini, dua modul baharu akan diperkenalkan iaitu Aduan Awam dan Penjaja Harian.
“Pembangunan fasa kedua akan bermula pada September depan dan dijangka siap pada April 2022. Ia memberi fokus ke arah perkhidmatan seperti permohonan dalam talian, tempahan dalam talian, pengiklanan, pelancongan dan hebahan awam.
“Seterusnya pembangunan fasa ketiga yang memfokuskan pembangunan ke arah sektor pelancongan dan modul hebahan maklumat tender dijangka siap pada Mac 2023,” kata kenyataan itu lagi. – UTUSAN










