JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri kekal optimis sempadan antarabangsa Malaysia-Singapura yang ditutup akibat pandemik Covid-19 akan dapat dibuka semula pada tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Pembangunan Usahawan dan Sumber Manusia negeri, Datuk Mohd. Izhar Ahmad berkata, hal itu berdasarkan kepada perkembangan semasa program vaksinasi melibatkan negeri ini.
Katanya, perolehan tambahan sebanyak 300,000 dos vaksin Covid-19 untuk Johor pada bulan ini juga merupakan indikator positif.
“Kita mempunyai hujah yang kukuh untuk membolehkan pembukaan semula sempadan antarabangsa Malaysia-Singapura dibuat secepat mungkin.
“Perkembangan terbaharu itu merupakan satu perkara yang positif dan pastinya membantu hasrat kerajaan negeri mencapai sasaran imuniti kelompok dalam tempoh beberapa bulan akan datang,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Mohd. Izhar bagaimanapun memberitahu, keputusan pembukaan sempadan itu akan turut tertakluk kepada kerajaan Pusat dan Singapura.
Pada 9 Julai lalu, Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata, kerajaan telah memperuntukkan tambahan 300,000 dos vaksinasi Covid-19 buat negeri ini dalam usaha meningkatkan peratusan penduduk yang mendapat vaksin itu.
Hasni berkata, dengan pertambahan jumlah itu, Johor mampu memberikan sebanyak 50,000 suntikan vaksin Covid-19 kepada rakyatnya dalam tempoh sehari.
Beliau juga berkata, kerajaan negeri mensasarkan seramai 80 peratus penduduk negeri ini akan menerima suntikan vaksinasi Covid-19 mereka menjelang Oktober ini.










