KUANTAN: Kementerian Komunikasi dan Multimedia mencadangkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) memberi kebenaran khususnya kepada penggiat seni melakukan aktiviti penggambaran dalam studio.
Menterinya, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, kebenaran dan kelonggaran tersebut disaran diluluskan apabila negara berada dalam Fasa Dua Kawalan Pergerakan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Menurut beliau, cadangan tersebut juga adalah takluk kepada studio yang sudah diberikan kelulusan oleh MKN sahaja.
“Dengan cara tersebut secara tidak langsung aspek pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) dan keselamatan dapat dikawal sekali gus mengelak penularan wabak Covid-19.
“Kita ada studio yang boleh digunakan oleh penggiat seni seperti studio di bawah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) di Selangor, Johor dan Sarawak. Malah ada juga beberapa syarikat produksi mempunyai kemudahan sama dan pasti memberi keizinan jika ada yang ingin menggunakannya.
“Kalau ikutkan jumlah studio tidak banyak tetapi dengan kebenaran MKN membolehkan penggiat seni ini melakukan pengembaraan. Sedikit sebanyak dapat membantu mereka terus mencari pendapatan,” katanya dalam sidang akhbar secara maya dan Pembentangan Kad Laporan Ahli Parlimen Indera Mahkota 2020 di sini hari ini.
Sementara itu Saifuddin berkata, sebanyak RM250 juta diperuntukan untuk membantu mereka yang berada di dalam industri seni kreatif yang terkesan.
“Sebanyak RM100 juta telah diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) baru-baru ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE