Mohd. Bakke Salleh dilantik Pengerusi Petronas baharu, Ahmad Nizam ke PHB  - Utusan Malaysia

Mohd. Bakke Salleh dilantik Pengerusi Petronas baharu, Ahmad Nizam ke PHB 

MOHD. BAKKE SALLEH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Tan Sri Ahmad Nizam Salleh dilantik sebagai Pengerusi Pelaburan  Hartanah Berhad (PHB) dan tempat beliau sebagai Pengerusi Petroliam  Nasional Berhad (Petronas) diambil alih  Tan Sri Mohd.  Bakke Salleh berkuat kuasa 1 Ogos ini. 

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan memaklumkan, kerajaan sedang meneruskan program mentransformasi syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) supaya terus kukuh dan bersedia menghadapi  fasa pemulihan pasca Covid-19 dalam norma baharu. 

Jelasnya, perubahan itu dilaksanakan dari semasa ke semasa. 

Berhubung perubahan kedua-dua jawatan itu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengucapkan ribuan terima kasih atas kepimpinan dan sumbangan Ahmad Nizam selama tiga tahun sebagai  Pengerusi Petronas. 

“Berdasarkan pengalaman beliau selama 37  tahun berkhidmat di Petronas dalam pelbagai jawatan, beliau berjaya mengemudi syarikat berkenaan mengharungi cabaran terbesar  yang dihadapi negara dan dunia, termasuklah ketidaktentuan harga  minyak dunia dan krisis pandemik Covid-19. 

“Petronas masih kekal  mempunyai penilaian kredit antarabangsa yang baik dan merupakan  syarikat unggul negara yang tersenarai dalam Fortune Global 500,” katanya hari ini.

AHMAD NIZAM SALLEH

Kenyataan itu turut memaklumkan, Ahmad Nizam akan kekal sebagai Pengerusi kumpulan syarikat  KLCC. 

Katanya, pengalaman beliau di Petronas dan dalam pengurusan  hartanah utama di KLCC akan membawa nafas baharu kepada hala tuju  dan pengurusan PHB dalam meningkatkan pemilikan bumiputera  terhadap hartanah komersial negara.

“Mohd. Bakke merupakan ahli korporat yang berpengalaman luas  dan berkhidmat dalam pelbagai bidang ekonomi dan kewangan.  

“Diharapkan kemahiran dan pengalaman yang dimiliki beliau serta  sokongan padu daripada Lembaga Pengarah dan pasukan pengurusan  sedia ada, akan dapat membawa Petronas melalui tempoh mencabar  sekarang ke tahap yang lebih cemerlang,” katanya. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya