KUANTAN: Prihatin dengan masalah penduduk setempat yang terkesan akibat pandemik Covid-19, pasar raya borong MO Wholesales tampil mengedarkan ikan mentah melalui program ‘Fish Bank’.
Sebelum ini kebiasaannya bantuan disalurkan berbentuk barangan asas harian namun kelainan yang dibawakan menerusi ‘Fish Bank’ merupakan antara inisiatif yang tepat pada masa ini.
Pengarah Eksekutif Operasi MO Wholesales, Mohd. Rofzan Mohd. Latiff berkata, ‘Fish Bank’ diwujudkan selepas mendapati tidak ramai pihak menawarkan bantuan barangan basah kepada orang ramai.
“Kalau sebut ‘food bank’ memang kita sudah biasa dengar dan ramai yang menawarkan pelbagai barangan keperluan asas kepada mereka yang terkesan, cuma barangan basah seperti ikan, agak jarang kita dengar.
“Jadi, kami terus bercadang mengadakan program ‘Fish Bank’ dan menyediakan kira-kira 2,000 kilogram (kg) ikan untuk diagihkan kepada penduduk sekitar bandar raya Kuantan.
“Kita melakukan pengagihan secara pandu lalu dan ini adalah bagi memastikan semua prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) dipatuhi,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Program ‘Fish Bank’ dilaksanakan bermula pukul 8.30 pagi di pekarangan pasar raya itu yang terletak di Kompleks Pasar Borong Baru Kemunting, Jalan Tanah Putih di sini.
Dalam pada itu, Mohd. Rofzan berkata, setiap penerima yang datang akan memperoleh dua kilogram ikan jenis Pelaling sejuk beku.
“Macam hari ini, kita agihkan ikan jenis Pelaling kerana stok yang banyak ketika ini. Jika selepas ini ada stok jenis ikan yang lain, kita agihkan ikan (jenis) lain pula.
“Program ‘Fish Bank’ ini, kita akan diteruskan dari semasa ke semasa, bergantung kepada bekalan ikan yang kita perolehi. Namun atas sambutan yang menggalakkan ini program sama akan diperluaskan lagi ke semua enam rangkaian pasar raya milik MO Wholesales secara berperingkat,” katanya.
Sementara itu, katanya, program pengagihan ikan adalah sebagai permulaan dan pihaknya sedang merancang untuk menyediakan rak ‘Food Bank’ di pasar raya tersebut.
“Bagi memudahkan mereka yang memerlukan sumber makanan dan terputus bekalan boleh mendapatkan bantuan barangan keperluan asas dengan mudah di sini. Di samping itu, kami akan meneruskan pengagihan ikan percuma dari semasa ke semasa,” katanya.
Tambahnya, program ‘Fish Bank’ sesi kedua akan diadakan di cawangannya di Kemaman, Terengganu, dalam masa terdekat. – UTUSAN










