KUALA LUMPUR: Seramai 12 kakitangan Parlimen positif Covid-19 dan 58 kakitangan lagi terpaksa dikuarantin susulan kontak rapat daripada jangkitan itu.
Memaklumkan perkara itu, Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun berkata, ia menjadi kebimbangan pihak Parlimen yang perlu diingatkan supaya semua terus mengekalkan penjarakan fizikal dan prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dipatuhi.
Turut dimaklumkan, Azhar berkata, dua ahli Parlimen juga didapati positif Covid-19 dan 5 ahli Parlimen lain turut perlu dikuarantin kerana kontak rapat.
Susulan itu, Speaker Dewan Rakyat itu berkata, beliau masih menunggu keputusan mesyuarat penyelarasan yang turut dihadiri Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah pagi tadi mengenai perjalanan Dewan Rakyat yang sepatutnya diadakan kali ini.
“Sebenarnya saya telah mengadakan mesyuarat jawatankuasa dewan pada Jumaat lepas bagi membincangkan jumlah kehadiran yang dapat dibenarkan dan membincangkan waktu persidangan. Pada masa itu kita telah membincangkan dan putuskan bahawa tidak akan ada had dalam dewan dan waktu persidangan sehingga 5.30 petang.
“Tetapi saya minta kerjasama daripada semua ketua parti agar dapat membuat giliran keahlian dalam dewan setiap sejam, pada masa itu, keputusan ujian saringan yang dibuat pada 21 dan 23 Julai belum diketahui. Selepas keputusan itu tahu semalam, maka saya telah memanggil mesyuarat penyelarasan pagi tadi untuk meminta pandangan Ketua Pengarah Kesihatan tentang keadaan Covid-19 bagaimana kita boleh bermesyuarat pada sidang kali ini.
“Keputusan akan diambil belum dapat dimuktamadkan sama ada hadkan jumlah kehadiran pada sesuatu masa dan mengenai masa persidangan, saya masih menunggu seperti yang dicadangkan dalam mesyuarat tadi,” katanya ketika memulakan persidangan Dewan Rakyat, hari ini.
Semalam, Utusan Malaysia melaporkan Speaker Dewan Rakyat akan bermesyuarat dengan ketua-ketua parti bagi meminta pandangan mengenai situasi terkini dan akan membuat keputusan sewajarnya mengenai tindakan yang perlu diambil supaya gejala Covid-19 tidak terus menular.
Mengulas lanjut, jelas Azhar, setakat ini Parlimen masih berpegang kepada keputusan Jawatankuasa Dewan untuk membenarkan kesemua ahli Parlimen hadir ke Dewan Rakyat dan persidangan tersebut tamat pada jam 5.30 petang.
Bagaimanapun, Azhar turut mengingatkan semua ketua parti supaya membuat giliran untuk ahli Parlimen masuk ke dalam Dewan Rakyat bagi mengelakkan gejala penularan wabak Covid-19.
Mesyuarat penyelarasan ini dipengerusikan oleh Speaker Dewan Rakyat sendiri, dan turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Menteri Kanan Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan; Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin; Ahli Parlimen Padang Terap, Datuk Seri Mahdzir Khalid; Ahli Parlimen Kubang Kerian, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man; Ahli Parlimen Kulim Bandar Bharu, Datuk Seri Saifuddin Nasution; Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke; Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad dan Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli.
Turut dihadiri kedua-dua Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Azalina Othman dan Datuk Mohd. Rashid Hasnon bagi memberi pandangan.