MELAKA: Kisah keperitan hidup penjual bola golf terpakai, Jaafar Leman, 66, yang disiarkan Utusan Malaysia mendapat perhatian Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri.
Dalam satu hantaran di akaun Facebook miliknya, Zullkifi berkata, sewaktu dalam perjalanan pulang selepas mengagihkan bantuan di sekitar negeri ini bersama Yayasan Wakaf Malaysia, beliau sempat singgah membeli 10 bungkus bola golf terpakai bagi membantu Jaafar.
Beliau berkata, meskipun tidak bermain sukan itu, pembelian berkenaan adalah sebagai tanda sokongan kepada Jaafar yang dilihat sangat gigih mencari sesuap nasi.
“Saya tidak pandai main golf, tapi sebagai menyokong usaha beliau untuk mencari rezeki, kami beli 10 bungkus bola golf.
“Sebelum saya datang, nampak ramai orang yang singgah untuk beli bola golf daripada beliau,” katanya.
Terdahulu, akhbar ini melaporkan, meskipun kelab-kelab tidak beroperasi hampir dua bulan ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan sekatan penuh pergerakan, namun Jaafar tetap meneruskan rutin hariannya menjual bola golf terpakai.
Setiap hari, dia dan isterinya, Armiza Mokhtar, 47, yang juga orang kurang upaya (OKU) berniaga di tepi jalan berhampiran Kelab Golf Tiara & Country Ayer Keroh di sini.
Dalam hantaran tersebut juga, Zulkifli berkata, beliau sangat tersentuh hati apabila melihat gambar Jaafar yang turut tular dalam media sosial.
“Kita sedia maklum, bahawa permainan golf masih tidak dibenarkan pada masa ini. Namun bagi Jaafar, mungkin ini satu-satunya mata pencarian beliau untuk kehidupannya dan isteri yang merupakan OKU.
“Ke mana-mana beliau pergi dengan motosikalnya isteri sentiasa bersama. Moga Allah luaskan rezeki beliau. Moga Allah pulihkan Malaysia daripada wabak Covid-19. Ini kisah pengorbanan seorang suami, seorang ketua keluarga,” tulisnya yang juga bekas Mufti Wilayah Persekutuan.