Maybank sumbang RM14 juta kepada HKL, HTAR

Maybank sumbang RM14 juta kepada HKL, HTAR bantu atasi Covid-19

ZAMZAMZAIRANI MOHD. ISA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Maybank memberikan sumbangan sebanyak RM14 juta kepada Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang (HTAR) sebagai usaha untuk meningkatkan lagi kapasiti dan kemudahan sistem penjagaan kesihatan dalam menghadapi peningkatan pesakit Covid-19.

Pengerusi Maybank, Tan Sri Zamzamzairani Mohd. Isa berkata, sumbangan itu disalurkan melalui Program Sokongan Peningkatan Kapasiti Hospital Covid-19 Mercy Malaysia yang menyediakan peralatan dan tenaga kerja kritikal di kedua-dua hospital tersebut bermula hujung bulan ini.

Katanya, program itu akan dijalankan dalam tempoh 20 minggu melalui penyediaan peralatan dan bekalan kesihatan; mobilisasi sumber manusia; dan latihan teknikal termasuk sokongan kesihatan mental dan psikososial.

“Ini akan meningkatkan ruang kapasiti katil unit rawatan rapi (ICU) untuk pesakit Covid-19 Kategori 4 dan 5 iaitu sebanyak enam unit di HTAR dan 10 unit di HKL, serta tambahan 200 katil pesakit Covid-19 masing-masing di kedua-dua hospital ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada masa sama, seramai 40 pekerja kesihatan dan kakitangan sokongan kritikal akan ditugaskan di HTAR manakala 50 kakitangan lagi akan bertugas di HKL bagi memperkuatkan bilangan kakitangan di wad Covid-19 dan wad biasa.

Zamzamzairani berkata, inisiatif ini juga akan menyaksikan lebih ramai kakitangan perubatan terlatih menangani kes Covid-19 secara berkesan.

“Ia bagi membolehkan jabatan pesakit luar hospital dibuka semula, seterusnya membantu semua pesakit dirawat,” katanya.

Katanya, sumbangan RM14 juta itu meliputi bekalan peralatan perubatan ICU dan bukan ICU, termasuk untuk jabatan kecemasan di kedua-dua buah hospital tersebut.

“Melalui kerjasama dengan pihak berkuasa kesihatan, Mercy Malaysia dan seluruh rakyat negara ini, kesinambungan sistem kesihatan negara akan terjamin, dan hospital kita akan dilengkapi dengan kemudahan lebih baik dan bersedia menghadapi bukan sahaja pandemik Covid-19, tetapi juga pandemik yang tidak dijangka pada masa akan datang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN