Maritim Malaysia patahkan cubaan seludup 300 kilogram ketum ke Thailand - Utusan Malaysia

Maritim Malaysia patahkan cubaan seludup 300 kilogram ketum ke Thailand

MARITIM Malaysia Zon Maritim Kuala Perlis mematahkan cubaan menyeludup 300 kilogram daun ketum bernilai kira-kira RM69,000 di persisiran pantai muara Sungai Baru, Simpang Empat, Perlis semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Zon Maritim Kuala Perlis mematahkan cubaan menyeludup 300 kilogram daun ketum bernilai kira-kira RM69,000 di persisiran pantai muara Sungai Baru, Simpang Empat di sini, semalam.

Sebuah bot yang dinaiki dua lelaki dalam keadaan mencurigakan itu dikesan membawa muatan ketum tersebut dalam kejadian kira-kira pukul 4.30 pagi.

Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Mohd Shafie Paing berkata, pihaknya mengekori bot tersebut sebelum suspek memecut laju selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa.

Katanya, suspek memecut laju dengan berpatah balik menghala ke daratan dan meninggalkan bot di dalam kawasan berlumpur lalu meloloskan diri.

“Hasil pemeriksaan ke atas bot yang ditinggalkan mendapati terdapat enam bungkusan besar plastik hitam di bahagian belakang dan sejumlah bungkusan-bungkusan kecil ditemukan di bahagian hadapan bot yang diubah suai itu.

“Pemeriksaan lanjut mendapati kandungan bungkusan terbabit disyaki daun ketum dengan anggaran berat 300 kilogram dan dipercayai cuba diseludup keluar ke negara jiran,” katanya di sini hari ini.

Tambahnya, hasil rampasan dan bot dibawa masuk ke jeti Zon Maritim Kuala Perlis untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat bagi tindakan lanjut.

Katanya, jarak dekat antara Perlis dan Thailand merancakkan lagi aktiviti penyeludupan daun ketum ke negara tersebut.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 kerana penyalahgunaan ketum termasuk mengimport, menjual, memproses dan lain-lain berkaitan bahan tersebut.

“Jika disabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih daripada RM10,000 atau penjara tidak lebih empat tahun atau kedua-duanya,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya