Maqis sumbang 680kg daging kerbau kepada Penjara Penor - Utusan Malaysia

Maqis sumbang 680kg daging kerbau kepada Penjara Penor

MAQIS menyerahkan 680kg daging kerbau sejuk beku yang dilucutkan hak kepada Penjara Penor, Pahang untuk dijadikan sumber makanan ternakan ikan keli.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PELABUHAN KLANG: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) menyerahkan kira-kira 680 kilogram (kg) daging kerbau sejuk beku yang dilucutkan hak kepada Penjara Penor, Pahang, semalam.

Penyerahan itu membabitkan 34 karton daging kerbau sejuk beku dari India dianggarkan bernilai RM11,710.37 yang tidak mematuhi prosedur pengimportan melalui Pelabuhan Klang Barat, di sini.

Maqis dalam satu kenyataan memaklumkan, penyerahan produk membabitkan hasil rampasan sejak April lalu itu adalah untuk dijadikan sumber makanan ternakan ikan keli di bawah program rehabilitasi banduan di penjara yang dijalankan Jabatan Penjara.

“Kesemua serahan itu adalah daripada hasil sitaan pengimportan keluaran pertanian yang melalui proses lucut hak di bawah Seksyen 15 (1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728].

“Inisiatif ini diharap dapat membantu pihak berkenaan dari segi menyediakan bekalan sumber makanan kepada haiwan ternakan,” katanya.

Menurutnya, Maqis sentiasa prihatin dalam membantu agensi yang memerlukan dan memastikan bekalan makanan haiwan yang diimport mencukupi. 

“Pada masa sama, Maqis terus memastikan isu-isu yang melibatkan aspek halal, keselamatan makanan, kawalan penyakit serta risiko kemasukan perosak berbahaya yang boleh mengancam industri pertanian serta penternakan negara dapat dikawal,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN