PUTRAJAYA: Majikan yang menjadi punca penularan Covid-19 akan ditangkap serta-merta dalam operasi besar-besaran seluruh negara yang turut memberi tumpuan khusus sekitar Lembah Klang, bermula esok.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, operasi yang diketuai Ketua Polis Daerah sebagai komander operasi mengikut daerah masing-masing akan disertai pelbagai agensi penguatkuasaan dan kementerian dalam menguatkuasakan Akta 342.
Katanya, berdasarkan risikan mendapati majikan mengerahkan pekerja Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) untuk bekerja bagi mengaut keuntungan sekali gus melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Operasi akan dilaksanakan serentak seluruh negara namun tumpuan khusus akan diberikan kepada negeri yang mempunyai rekod penularan yang tinggi seperti Selangor dan Kuala Lumpur, maka sebab itulah, tangkapan banyak dibuat di dua negeri itu.
“Soal siasat dilakukan, pekerja terbabit memaklumkan mereka tahu rakan yang lain dijangkiti Covid-19 tetapi tidak dikuarantin. Sebab itu jugalah, semua maklumat ini diambil dan esok, kita tangkap majikan sekali kerana melakukan kesalahan dan menzalimi pekerja mereka,” katanya dalam sidang akhbar khas PKP 3.0 hari ini.
Mengulas mengenai operasi esok, Hamzah berkata, operasi kali ini akan menggunakan strategi drastik melalui pemeriksaan dan pemantauan lebih ketat dengan menggunakan pelbagai aset strategik seperti helikopter melibatkan pelbagai agensi dan sekatan jalan raya (SJR) bergerak.
Kata beliau, pihaknya sudah mendapatkan pelan pemetaan kawasan yang ditumpukan dengan kerjasama Selangor dan Kuala Lumpur bagi memastikan operasi yang dilakukan lebih tepat dan bersasar.
“Operasi bermula dengan helikopter Jabatan Bomba Dan Penyelamat (JBPM) membuat pemantauan di lokasi yang disasarkan bagi memastikan tiada pihak berjaya memboloskan diri. Ini kerana setiap kali operasi dilakukan, pihak berkuasa masuk ikut pintu depan manakala individu yang melakukan kesalahan lari ikut pintu belakang maka dengan adanya helikopter dan dron, sudah pasti mereka tidak dapat melarikan diri.
“Polis akan mengetuai serbuan dan pemeriksaan sektor perkilangan manakala premis makanan diterajui pihak berkuasa tempatan (PBT) serta sektor perniagaan, pengedaran dan peruncitan diterajui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP),” katanya. – UTUSAN ONLINE