KANGAR: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) menyalurkan peruntukan tambahan sebanyak RM1.03 juta bagi membantu kira-kira 5,150 asnaf di negeri ini.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, peruntukan tersebut disalurkan kepada masjid di seluruh negeri ini.
Dalam masa sama, baginda merangkap Yang Dipertua MAIPs turut menyeru, semua pihak yang berkemampuan agar sentiasa peka keadaan sekeliling dengan memastikan golongan kurang berkemampuan sentiasa dibantu.
“Inisiatif MAIPs ini sudah pasti bertujuan untuk membantu mereka yang memerlukan, walaupun Perlis diharapkan akan beralih ke fasa dua atau tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) dalam tempoh terdekat ini.
“Bantuan seperti ini amat signifikan kerana rantaian ekonomi yang dijangka masih bergerak perlahan.
“Kesusahan yang dihadapi rakyat pada masa ini terpaksa diterima dan semua pihak harus saling menyokong demi membantu mereka yang benar-benar memerlukan,” titah baginda selepas menyempurnakan simbolik penyerahan bantuan tersebut di Masjid Alwi di sini hari ini.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor memberitahu, sumbangan berkenaan adalah inisiatif tambahan MAIPs bagi membantu meringankan beban golongan yang memerlukan di seluruh negeri ini.
Katanya, bantuan tambahan tersebut bakal memberikan manfaat kepada 5,150 orang pemohon yang memerlukan bantuan kewangan berikutan lanjutan pelaksanaan sekatan pergerakan penuh di seluruh negara.
“Mereka yang layak menerima bantuan tersebut adalah terdiri daripada mereka yang tidak menerima bantuan khas Covid-19 PKP 3.0 namun berdepan situasi kecemasan untuk membeli makanan atau keperluan seperti barangan basah, pembayaran utiliti dan sebagainya.
“Mereka yang terjejas hanya perlu ke masjid atau bertemu dengan amil atau ahli jawatankuasa kariah masjid yang dilantik untuk melaksanakan agihan dan memaklumkan keperluan bagi tujuan penyaluran sumbangan itu.
“Inisiatif terbaharu itu juga adalah tambahan kepada peruntukan asal sebesar RM7.2 juta seperti yang diperkenankan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail yang menjadikan jumlah sumbangan MAIPs untuk tempoh PKP 3.0 setakat ini adalah sebanyak RM8.23 juta,” katanya.
Daripada jumlah berkenaan, sebanyak RM5.43 juta diagihkan kepada 18,179 asnaf di seluruh negeri ini tanpa melibatkan permohonan sebaliknya MAIPs telah menyalurkan terus sumbangan tersebut kepada senarai asnaf sedia ada.










