MAINS agih dana RM2.6j bantu golongan terkesan PKP 3.0 - Utusan Malaysia

MAINS agih dana RM2.6j bantu golongan terkesan PKP 3.0

SALAH satu daripada pek makanan asas yang disalurkan MAINS yang diedarkan oleh pihak Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Felda Bukit Rokan Utara dekat Tampin kepada keluarga yang terkesan sepanjang PKP 3.0. - UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) mengagihkan dana sebanyak lebih RM2.6 juta bagi membantu golongan terkesan sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 di negeri ini.

MAINS dalam kenyataan memaklumkan, menerusi dana itu, ia disalurkan kepada lapan jenis bantuan termasuk Bantuan Khas Tunai Covid-19 dengan jumlah peruntukan sebanyak RM1.4 juta.

“Bantuan khas tunai itu khusus kepada keluarga yang terjejas dalam tempoh PKP ini seperti golongan kategori B40, kehilangan pekerjaan, peniaga dan penjaja kecil serta pekerja harian,” kata kenyataan itu.

Bantuan kedua pula adalah Bantuan Segera Asnaf Fakir dan Miskin dengan jumlah keseluruhan yang telah diagihkan adalah sebanyak RM18,604.

“Bantuan ini terdiri daripada keperluan asasi berbentuk makanan masak, makanan segera dan makanan asas (barang dapur) dengan kadar yang sesuai mengikut kategori.

“Bantuan ketiga ialah bantuan Individu Bawah Pengawasan (PUS) sebanyak RM138,700. Bantuan ini disediakan kepada individu atau keluarga yang dikenal pasti positif Covid-19 oleh pihak Jabatan Kesihatan negeri dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) dan perlu di kuarantin di rumah atau pusat-pusat kuarantin yang ditetapkan oleh pihak berkuasa,” kata kenyataan itu.

MAINS turut memperuntukkan RM47,760 bagi bantuan peralatan perlindungan diri (PPE) kepada petugas barisan hadapan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) bagi melaksanakan tugas menguruskan kematian mangsa Covid-19.

“Bantuan kelima pula merupakan bantuan petugas dan petugas barisan hadapan membabitkan peruntukan sebanyak RM70,496 dan bantuan sumbangan makanan bermasak bagi petugas dan petugas barisan hadapan iaitu dalam bentuk pek makanan dengan nilai keseluruhan sebanyak RM76,580.

“Bantuan ketujuh pula membabitkan bantuan organisasi iaitu Persatuan Empunya Bas Sekolah membabitkan jumlah keseluruhan sebanyak RM21,000. Bantuan ini disediakan dalam bentuk kewangan kepada 42 pengusaha bas sekolah mewakili ketua keluarga terjejas dalam tempoh PKP 3.0 kerana tidak dapat menjalankan operasi perkhidmatan bas sekolah,” jelas kenyataan itu.

MAINS dalam pada itu juga menyalurkan bantuan tablet komputer kepada golongan asnaf fakir dan miskin di bawah organisasi berkenaan yang memiliki anak yang masih bersekolah untuk membantu meningkatkan keupayaan untuk anak-anak mereka mengikuti pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN