Lori lebih muatan ‘bermaharajalela’ ketika PKP - JPJ

Lori lebih muatan ‘bermaharajalela’ ketika PKP

HANIF Yusabra (tengah) bersama para penerima bakul makanan Program Insaniah JPJ Kelantan di Kampung Chicha Menyabong, Kota Bharu hari ini.  - FOTO/ROSLIZA MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kes kenderaan berat terutama lori balak, batu dan pasir yang membawa muatan melebihi had di negeri ini meningkat 159 peratus dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, berbanding tempoh sama tahun lalu.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan, Hanif Yusabra Yusuf berkata, sebanyak 3,814 kes berkaitan kesalahan itu direkodkan dalam tempoh tersebut tahun ini, berbanding 1,470 kes tahun lalu.

“Siasatan mendapati, para pemandu lori ini mengambil kesempatan untuk kejar ‘trip’ ketika musim PKP. Kebanyakan lori itu membawa muatan balak, batu dan pasir.

“Pemandu lori yang didapati melakukan kesalahan membawa muatan melebihi had akan dikenakan tindakan mengikut Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 dan Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan bakul makanan kepada tiga keluarga menerusi Program Insaniah JPJ Kelantan 2021 di Kampung Chica Menyabong di sini hari ini.

Program kebajikan dan khidmat masyarakat itu bertujuan membantu rakyat yang terkesan dan hidup terhimpit akibat pandemik Covid-19 yang masih berlarutan di negara ini.

Mengulas lanjut, Hanif Yusabra berkata, ketika musim pandemik ini, JPJ Kelantan memilih menggunakan kaedah advokasi atau nasihat, berbanding saman kepada pengguna jalan raya kerana prihatin dengan nasib rakyat.

Bagaimanapun tegas beliau, itu bukan alasan untuk mana-mana pihak mengambil kesempatan melanggar peraturan jalan raya  sepanjang tempoh PKP.

Menyentuh tentang Program Insaniah JPJ Kelantan 2021, Hanif Yusabra berkata, sebagi permulaan pihaknya menyasarkan untuk membantu 50 keluarga memerlukan yang dikenal pasti di sekitar daerah ini.

“Sumber kewangan yang diperoleh bagi menggerakkan program ini adalah daripada Tabung Insaniah, iaitu hasil kutipan derma ikhlas oleh para kakitangan JPJ Kelantan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya