SHAH ALAM: Cubaan lima etnik Rohingya bersembunyi dengan menaiki lori untuk menyusup masuk ke negara ini tidak berhasil apabila dicekup pihak berkuasa di Jalan Sungai Tekali, Hulu Langat semalam.
Penahanan itu dilakukan Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 4 Semenyih yang mengesan semua pendatang asing tanpa izin (PATI) berusia 14 hingga 19 tahun berkenaan, kira-kira pukul 3 petang.
Pegawai Pemerintah Batalion 4, Superintenden Rizal Mohamed berkata, pihaknya menahan lori berkenaan selepas dilihat mencurigakan bersama sebuah kereta dinaiki tiga lelaki termasuk seorang warga tempatan.
“Hasil pemeriksaan kemudian menemukan seorang lelaki dan empat wanita Rohingya bersembunyi di belakang lori tersebut.
Siasatan mendapati semua warga asing itu gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan yang sah,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Menurut beliau, semua PATI itu dipercayai baru memasuki negara ini menerusi laluan laut yang tidak diwartakan.
“Tiga lelaki terdiri daripada seorang warga tempatan dan dua Myanmar berusia 28 hingga 39 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan. Mereka dipercayai tekong darat dan transporter yang membawa masuk PATI dari sempadan,” katanya.
Jelas Rizal, semua yang ditahan dibawa ke Balai Polis Kajang untuk tindakan lanjut.
“Kes berkenaan disiasat mengikut Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan Akta Imigresen 1963. Mereka turut akan menjalani ujian saringan Covid-19 bagi mencegah penularan pandemik di kalangan pesalah dan petugas,” katanya.
Tambah beliau, pihaknya amat mengalukan kerjasama orang ramai untuk menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti yang menyalahi undang-undang.









