JOHOR BAHRU: Selepas tular sekumpulan individu yang didakwa tidak patuh prosedur operasi standard (SOP) apabila makan durian di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di bandar raya ini, kini tersebar pula sekumpulan penduduk kampung makan berkumpulan di tepi sungai di sekitar Skudai, sejak semalam.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Rupiah Abd. Wahid berkata, video yang tular itu memaparkan sekumpulan penduduk kampung makan berkumpulan di tepi sungai sekali gus turut melanggar SOP Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Katanya, hasil siasatan mendapati video yang tular itu dimuat naik oleh pemilik akaun bernama ‘Atan Abdul’ di Facebook, semalam.
Tambahnya, pihaknya sedang mengesan 12 individu dalam video tersebut yang sedang berkumpul dan makan beramai-ramai di sebuah pondok di tepi sungai di sebuah kampung di Skudai, di sini.
“Usaha mengenal pasti kesemua individu berkenaan sedang dilakukan dan setakat ini belum ada lagi tangkapan dilakukan.
“Kandungan video itu memaparkan 12 individu sedang menikmati makanan secara berkumpulan yang jelas melanggar SOP larangan berkumpul. Mereka juga jelas tidak mematuhi penjarakan fizikal dan tidak memakai pelitup muka seperti yang ditetapkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, tular satu video berdurasi 2 minit 17 saat memaparkan sekumpulan lelaki dan wanita makan beramai-ramai dipercayai di sebuah pondok di tepi sungai di sebuah kampung sekitar Skudai.
Rupiah berkata, kes akan disiasat di bawah Perkara 17(1) Peraturan-Peraturan dan Pencegahan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPDPPB) 2021 yang memperuntukkan denda RM4,000.
Katanya, kes itu juga disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, jika sabit kesalahan boleh didenda RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya sekali.
Pihaknya menyeru orang ramai supaya mematuhi arahan yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi mengekang penularan wabak Covid-19.










