Lepak tepi pantai sempena Aidiladha, 21 individu dikompaun  - Utusan Malaysia

Lepak tepi pantai sempena Aidiladha, 21 individu dikompaun 

SEBAHAGIAN daripada individu yang ditahan kerana bersiar-siar di Pantai Tanjung Dawai dibawa ke Balai Polis Tanjung Dawai, Sungai Petani, Kedah untuk dikenakan tindakan kompaun semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Seramai 21 individu yang mengambil kesempatan bersiar-siar sempena cuti sambutan Hari Raya Aidiladha di tepi pantai Tanjung Dawai dekat sini, dikenakan tindakan kompaun sebanyak RM4,000 seorang semalam.

Kesemua mereka iaitu 13 lelaki dan lapan wanita berusia antara 16 hingga 49 tahun ditahan dalam Op Covid-19 oleh sepasukan polis di sekitar kawasan tersebut antara pukul 6.40 petang hingga 10 malam.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, pemeriksaan dilakukan terhadap beberapa buah kereta di kawasan itu serta orang awam yang sedang berkumpul dan melepak di  pantai tersebut.

“Hasil soal siasat awal mendapati mereka gagal memberikan alasan munasabah semasa ditahan selain gagal mematuhi prosedur operasi standard Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) membabitkan rentas daerah tanpa kebenaran dan tiada penjarakan sosial.

“Malah mereka yang kesemuanya datang dari luar daerah ini mengaku bersiar-siar dan memberi alasan berada di tepi pantai itu bersama kawan sempena cuti sambutan hari raya,” katanya di sini semalam.

Adzli berkata, kesemua individu itu dibawa ke Balai Polis Tanjung Dawai di sini untuk dikompaun kerana melakukan kesalahan mengikut Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

Beliau berkata, mereka dibenarkan pulang ke rumah masing-masing selepas selesai urusan kompaun. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN