ALOR SETAR: Seorang lelaki cedera di perut akibat ditanduk seekor lembu sado seberat lebih satu tan di ladang ternakan lembu di Kampung Chakadong, Bukit Tembaga, Pokok Sena, di sini semalam.
Mangsa berusia 50 tahun dikatakan mengalami kecederaan parah pada perut dengan sebahagian ususnya terkeluar dalam kejadian pada pukul 8 pagi.
Pemilik ladang yang mahu dikenali sebagai Mat, 30, berkata, lelaki itu ditanduk lembu sado baka ‘blonde’ berusia lebih dua tahun.
Menurutnya, mangsa yang dikenali sebagai Hakim, 50, tinggal di kampung itu datang ke ladang berkenaan bagi membantunya merawat lembu berkenaan.
“Hakim sering datang ke ladang ternakan lembu ini, bagaimanapun saya terkejut lembu berkenaan bertindak agresif ketika diberi rawatan,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Menurutnya, dia kemudian membawa Hakim ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini untuk menerima rawatan dan keadaannya dilaporkan stabil.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir pula berkata, tiada laporan berhubung kejadian diterima setakat ini. – UTUSAN ONLINE










