PADANG BESAR: Seorang lelaki yang bertindak agresif dengan menyerang anggota polis dengan pedang mati ditembak di rumahnya di Jalan Kaki Bukit, semalam.
Ketua Polis Padang Besar, Superintenden Saifudin Aslin Abbas berkata, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Padang Besar datang ke rumah lelaki berusia 55 tahun itu kira-kira pukul 5.30 petang untuk menangkapnya setelah menerima laporan daripada isterinya yang mendakwa dia telah dipukul suspek.
Katanya, setibanya di lokasi, suspek bagaimanapun enggan keluar dan membuatkan pihak polis terpaksa masuk melalui tingkap rumah berkenaan dan mendapati suspek sedang memegang sebilah pedang dan bertindak agresif.
Menurutnya, usaha memujuk suspek oleh anggota polis dan anak lelakinya selama lebih sejam juga tidak berjaya.
“Kira-kira pukul 6.50 petang, suspek menjadi semakin agresif dan menyerang pihak polis dengan melibas pedang ke arah anggota. Libasan berkenaan mengenai tangan kanan seorang anggota polis menyebabkan kecederaan yang serius.
“Suspek kemudian terus menyerang tanpa henti dan menyebabkan seorang lagi anggota polis mendapat kecederaan di kaki dan pegawai mendapat kecederaan di kepala.
“Apabila serangan makin agresif, pihak polis terpaksa melepaskan satu tembakan amaran tetapi suspek terus menyerang dan pihak polis terpaksa melepaskan tembakan ke arahnya untuk melindungi keselamatan semua anggota polis dan anak suspek yang berada di situ. Suspek rebah selepas tembakan kedua,” katanya di sini hari ini.
Sementara itu, suspek disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya dibawa ke hospital untuk bedah siasat manakala anggota polis yang cedera juga turut dibawa ke hospital untuk rawatan.
“Semakan mendapati suspek mempunyai enam rekod jenayah lampau yang melibatkan penyalahgunaan dadah, ugutan jenayah, khianat dan kesalahan di bawah Akta Racun.
“Kes disiasat di bawah seksyen 307 Kanun Keseksaan,” jelasnya.
Terdahulu, isteri suspek membuat laporan polis kira-kira pukul 2.48 petang kerana telah ditampar, ditarik rambut, dihentak muka ke lantai dan dipijak setelah menegur suaminya itu yang bercakap seorang diri dalam keadaan marah.
Suspek juga telah meletakkan sebilah kapak di leher isterinya itu serta menarik rambut dan mengheret ke dalam bilik.
Kes disiasat di bawah Seksyen 506/ 323 Kanun Keseksaan dan di bawah Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga 2012.