TAMPIN: Seorang lelaki berusia 23 tahun ditemukan lemas dipercayai terjatuh ke dalam sungai di Kampung Ulu Ladang, Gemas, di sini, ketika sedang memancing, malam semalam.
Jurucakap bomba berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Gemas ke lokasi kejadian sebaik sahaja menerima panggilan dari orang awam pada pukul 8.02 malam dan tiba di lokasi 10 minit kemudian.
Pasukan itu turut mendapat bantuan dari anggota Pasukan Penyelamat di Air (PPDA), Balai Bomba dan Penyelamat Seri Jempol bagi mencari mangsa yang dilaporkan lemas di sungai berkenaan.
“Gerakan mencari dan menyelamat dimulakan dan mangsa ditemukan kira pukul 12.55 tengah malam tadi.
“Mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya dan dihantar ke Hospital Tampin bagi proses bedah siasat,” katanya hari ini. – UTUSAN ONLINE










