HULU TERENGGANU: Seorang lelaki dipercayai kurang siuman menimbulkan kekecohan apabila memecut laju kenderaannya hingga melanggar sembilan lampu isyarat dan tiga sekatan jalan raya (SJR) dari Bukit Jong, Kuala Nerus hingga ke Kilometer 30, Jalan Kuala Terengganu-Bukit Besi di Bukit Perah, Ajil di sini.
Dalam kejadian pukul 12.19 tengah hari, buruh berusia 45 tahun yang tidak memakai apa-apa pakaian itu turut melanggar tiga kenderaan termasuk dua motosikal dengan seorang penunggang parah.
Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Mohd. Adli Mat Daud berkata, suspek yang memandu kereta Honda City berwarna biru pada mulanya merempuh SJR Bukit Jong, Kuala Nerus sebelum memecut laju ke arah Jambatan Sultan Mahmud, Kuala Terengganu.
Katanya, sebuah kereta peronda polis yang menerima maklumat tentang kejadian itu bertindak mengejar kereta suspek dan mengarahkannya berhenti, namun tidak dipedulikan.
“Suspek memecut laju dan melanggar beberapa lampu isyarat di samping turut merempuh sebuah kereta dan motosikal masing-masing di Kubang Parit serta Pengadang Baru, Kuala Terengganu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mohd. Adli berkata, usaha polis mengejar suspek sehingga ke Hulu Terengganu, akhirnya berjaya apabila dia memberhentikan kenderaan di kiri jalan selepas melanggar sebuah motosikal di lampu isyarat Bukit Perah.
Katanya, suspek yang cedera ringan kemudian dibawa ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara berbahaya dan melulu.
“Semakan di Bahagian Rekod, Hospital Hulu Terengganu mendapati lelaki berkenaan mengalami sakit mental, Schizophrenia dan disahkan pegawai perubatan bertugas,” katanya.










