BALIK PULAU: Polis sedang mengenal pasti identiti seorang lelaki dalam keadaan memakai pelitup muka yang bertindak mencuri sejumlah wang dari tabung Masjid Maqbul di Teluk Kumbar, di sini awal pagi tadi.
Kelibat suspek lelaki yang memakai baju T bercorak hitam dan putih, berseluar jeans serta menggalas beg itu dirakam sistem televisyen litar tertutup (CCTV) masjid berkenaan sekitar pukul 12.30 hingga 1 pagi tadi.
Difahamkan, kejadian disedari beberapa jemaah yang datang untuk menunaikan solat subuh kira-kira pukul 5.30 pagi.
Peti duit berkenaan diletakkan berhampiran tangga iaitu laluan utama jemaah masuk ke ruang solat masjid berkenaan.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan berkata, pihaknya telah menerima laporan daripada pihak pengurusan masjid sebaik sahaja menyedari kejadian berlaku.
“Suspek dipercayai menggunakan dawai untuk mengambil wang tunai sebanyak RM200 dari dalam tabung berkenaan.
“Kita sedang giat mengesan identiti suspek terbabit dan percaya tangkapan akan dilakukan dalam tempoh terdekat,” katanya di sini.
Kamarul Rizal memberitahu, kes tersebut akan disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan iaitu mencuri. – UTUSAN ONLINE