Leka main judi, empat lelaki ditahan - Utusan Malaysia

Leka main judi, empat lelaki ditahan

SEBAHAGIAN daripada mereka yang ditahan ketika bermain judi di sebuah pondok kayu dalam kebun getah dekat Taman Bersatu, Jitra, Kubang Pasu semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUBANG PASU: Empat lelaki yang lelaki bermain judi ditahan ketika serbuan polis di sebuah pondok kayu dalam kebun getah dekat Taman Bersatu, Jitra di sini, semalam.

Bagaimanapun, beberapa lelaki lain yang turut bermain judi di pondok tersebut berjaya melarikan diri selepas menyedari kehadiran anggota polis.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintenden Rodzi Abu Hassan berkata, serbuan itu dilakukan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu pejabat Polis Daerah (IPD), Kubang Pasu kira-kira pukul 5.30 petang.

Menurutnya, empat lelaki yang berusia antara 33 hingga 60 tahun ditahan itu merupakan penduduk tempatan berasal dari Jitra di sini.

“Hasil pemeriksaan, kawasan berkenaan disyaki menjadi lokasi baharu lelaki terbabit berjudi selepas tempat tumpuan mereka di kebun getah di Kampung Naga di sini diserbu polis baru-baru ini.

“Semakan juga mendapati dua daripada lelaki terbabit pernah ditahan kerana kesalahan berjudi sebelum ini,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Rodzi berkata, polis turut merampas wang tunai sebanyak RM2,750, sebuah meja kayu, lima buah kerusi plastik, kain kanvas bercetak angka, cawan dan piring seramik putih dan tiga dadu.

“Kesemua tangkapan ditahan reman dua hari bermula hari ini sehingga esok untuk siasatan lanjut,” katanya.

Selain itu tambahnya, kompaun dikeluarkan terhadap kesemua lelaki tersebut di bawah Peraturan 11(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021 kerana tidak mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 7(2), Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN