KOTA KINABALU: Wajah sugul berubah menjadi ceria apabila sebakul makanan diserahkan kepada warga tua yang baru pulang dari kebun.
Kegembiraan yang terpancar itu memberi semangat kepada Marciana Andrew, 24, untuk meneruskan usaha membantu penduduk Kampung Makatabau, Tenom melalui bank makanan yang terletak di gerai sayur tepi jalan milik ibu saudaranya.
Berpegang kepada prinsip tidak perlu tunggu kaya untuk memberikan sesuatu, dia mengambil inisiatif memulakan bank makanan itu bersama kakak dan sepupunya.
Graduan pendidikan awal kanak-kanak di Kolej Geomatika, Keningau ini berkata, dia sendiri tidak menyangka usaha kecil mereka memberi makna yang cukup besar kepada penerima.
Biarpun tidak banyak yang boleh diberikan namun, rasa bersyukur yang diungkapkan oleh penerima cukup membuatkan dia gembira kerana dapat berkongsi rezeki dengan insan yang lebih susah daripada mereka.
“Hasrat memulakan bank makanan ini bermula apabila saya melihat orang-orang tua baru pulang dari kebun dan singgah membeli sayur di gerai ibu saudara saya. Kita boleh tahu, mereka ini orang susah melalui gerak-geri dan cara berpakaian.
“Melihat situasi itu, saya mengambil inisiatif memulakan bank makanan yang terdiri daripada barangan keperluan asas,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Marciana berkata, memandangkan dia masih menunggu untuk konvokesyen, dia menggunakan masa terluang membantu ibunya berniaga minuman dan kuih-muih di gerai berkenaan.
Sejak bank makanan itu dibuka, dia merasa gembira kerana dapat membantu penduduk kampung yang terputus bekalan makanan. Malah, ada juga bantuan yang mereka hantar sehingga ke rumah penerima.
Menurutnya, apabila sepupunya memuat naik mengenai bank makanan ini dalam media sosial, ada beberapa individu turut datang menyumbang barangan serta bantuan kewangan untuk membeli barang keperluan asas.
Kini, berkat sumbangan orang ramai, mereka dapat membeli lebih banyak barangan untuk disumbangkan kepada penduduk kampung yang benar-benar berada dalam kesusahan ketika pandemik Covid-19 ini.










