HULU TERENGGANU: Lebih 50 rumah di Padang Setengga, di sini rosak akibat dipukul ribut, petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6 petang itu, tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Padang Setengga, Sulaiman Ali berkata, ribut yang membadai itu disifatkan yang terburuk di kawasan perumahan berkenaan sejak 2018.
Katanya, kebanyakan kerosakan membabitkan bahagian bumbung.
Serentak itu, pusat kawalan tempat kejadian (PKTK) bencana turut dibuka di Surau Padang Setengga bagi membolehkan semua jabatan serta agensi membuat penyelarasan.
“Jumlah mangsa dijangka bertambah kerana kita masih mengenal pasti mereka yang terjejas.
“Ketika kejadian saya sedang mengagihkan bekalan makanan ke rumah penduduk dan terkejut melihat beberapa atap melayang diterbangkan angin kencang walaupun pada masa itu belum lagi hujan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Sementara itu, hampir 30 rumah di 10 kampung di Dewan Undangan Negeri (DUN) Telemong di sini turut rosak dalam kejadian sama.
Di Kuala Terengganu pula, kejadian ribut menyebabkan beberapa pokok tumbang di sekitar pusat bandar di samping banjir kilat di kawasan Pasar Besar Kedai Payang. – UTUSAN ONLINE
.










