PETALING JAYA: Sebanyak 11,075,493 dos vaksin telah disuntik kepada rakyat Malaysia setakat semalam.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, ia meliputi sebanyak 324,745 dos yang disuntik semalam.
“Sebanyak 7,649,848 orang menerima dos vaksin pertama manakala 3,425,645 orang telah menerima dos kedua,” katanya menerusi akaun Twitter miliknya.
Beliau turut berkongsikan laporan harian pemberian vaksin yang menunjukkan Selangor mencatatkan angka suntikan dos vaksin pertama tertinggi iaitu 61,945 dos, diikuti Kuala Lumpur dengan 29,519 dos dan Sarawak dengan 27,062 dos.
Namun, Sarawak mencatatkan angka pemberian dos kedua tertinggi dengan 35,179 dos, diikuti Kuala Lumpur dengan 17,176 dos dan Selangor dengan 16,136 dos.
Bagi laporan jumlah kumulatif pemberian dos vaksin, Kuala Lumpur mencatatkan peratusan tertinggi dengan 101.6 peratus untuk dos pertama, diikuti Putrajaya dengan 80.4 peratus dan Sarawak dengan 66.7 peratus.
Untuk dos kedua, Putrajaya mencatatkan peratusan tertinggi dengan 47.7 peratus, diikuti Labuan dengan 39.0 peratus dan Perlis dengan 29.2 peratus.
Walaupun Selangor mencatatkan peratusan sebanyak 30.5 peratus untuk suntikan dos pertama namun negeri itu berada di kedudukan tercorot berbanding negeri-negeri lain apabila hanya mencatatkan 10.2 peratus untuk dos kedua. – UTUSAN ONLINE










