PETALING JAYA: Sebanyak 1,017 penerima melibatkan 3,391 isi rumah telah mendapat manfaat daripada Bakul Prihatin Negara yang baru sahaja digerakkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 15 Julai lalu.
Berdasarkan statistik terkini, penerima terlibat datang dari 48 daerah di 11 negeri yang mengemukakan permohonan menerusi tiga saluran yang diaktifkan di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).
Kedah paling banyak manfaat apabila sebanyak 279 program bakul bantuan diadakan di negeri itu, diikuti dengan Kelantan dengan 269 program dan Negeri Sembilan dengan 168 program.
Penerima paling ramai mendapat manfaat Bakul Prihatin Negara adalah berasal dari Kota Bharu dengan 106 penerima dan Machang juga mencatatkan 106 penerima.
Turut mencatatkan penerima tertinggi adalah Rembau dengan 74 penerima dan Baling dengan 59 penerima. – UTUSAN










