Lakukan ujian saringan Covid-19 sebelum masuk kilang - Utusan Malaysia

Lakukan ujian saringan Covid-19 sebelum masuk kilang

MOHAMAD RAFIE AB MALEK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Setiap individu yang memasuki sesebuah premis kilang yang beroperasi di negeri ini dicadang untuk terlebih dahulu menjalani ujian Covid-19 RTK Antigen sebagai proses saringan pertama.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan negeri, Datuk Dr. Mohamad Rafie Ab Malek berkata, langkah itu perlu mengambil kira kluster industri adalah di antara penyumbang terbesar kepada jumlah statistik Covid 19 di negeri ini.

Menurut beliau, pemberian vaksin kepada pekerja industri merupakan langkah terbaik untuk mencapai imuniti kelompok namun beberapa langkah lain juga wajar diambil seperti saringan ujian Covid-19 sebelum memasuki premis kilang.

Katanya, ia juga bagi memastikan sektor perindustrian boleh dijanakan semula secara maksimum dengan memastikan setiap individu yang memasuki kilang bebas Covid-19.

“Untuk melaksanakan ujian RT PCR, ia mungkin tidak sesuai kerana memakan masa yang lama untuk mendapatkan keputusan ujian serta harga kos ujian yang agak mahal. Kemungkinan ujian yang paling sesuai adalah RTK Antigen, walaupun mempunyai ketepatan sekitar 85 peratus tetapi ia boleh dilaksanakan dalam tempoh sekitar 10 minit.

“Penggunaannya sebagai proses saringan pertama dan ia adalah merupakan kaedah terbaik ketika ini walaupun ketepatan ujian tidak mencapai 100 peratus. Kos RTK Antigen dalam pasaran ketika ini tidak begitu murah, rata-rata ia bernilai sekitar RM50 untuk setiap satu set namun ada yang mempunyai harga di bawah RM20 setiap set,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Mohamad Rafie, harga berkenaan boleh diusahakan lagi untuk dikurangkan sehingga di bawah RM10 namun pihak industri perlu membuat pelaburan dengan nilai harga yang sedia ada ini.

Menurut beliau, langkah mengambil suhu yang diamalkan ketika ini adalah tidak memadai.

Sehubungan itu katanya, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri wajar mencadangkan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan untuk membenarkan syarikat perindustrian berjalan secara operasi penuh dengan syarat setiap individu yang memasuki kilang wajib menjalani ujian saringan Covid-19 dan hanya mereka yang bebas Covid-19 sahaja dibenarkan masuk.

“Mana-mana individu atau pekerja yang didapati positif Covid-19 menerusi RTK Antigen perlu untuk menjalan saringan RT PCR yang mempunyai ketepatan sekitar 99.9 peratus dan jika sah positif menerusi ujian saringan kedua ini, individu berkenaan perlu dikurantin atau dihantar ke hospital,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN