PUTRAJAYA: Kementerian Wilayah Persekutuan sedang merangka mekanisme dan pendekatan yang lebih efektif untuk membantu penduduk dalam kawasan bandar seperti di Kuala Lumpur yang mengalami masalah kesihatan mental yang semakin serius serta perlu ditangani segera.
Menterinya, Tan Sri Annuar Musa berkata, pihaknya peka dan cuba menangani secara holistik isu melibatkan kesempitan hidup rakyat dan peningkatan kes masalah kesihatan mental dalam kalangan masyarakat.
Katanya, cabaran ini memerlukan kerjasama semua pemimpin masyarakat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pakar-pakar yang berpengalaman dengan masalah kesihatan mental.
Menurut beliau, pihaknya juga mengadakan perjumpaan secara maya selama dua jam dengan 39 individu terdiri daripada pakar kesihatan mental, kaunselor, pensyarah dan yang mewakili NGO-NGO yang berpengalaman membantu golongan dengan masalah kesihatan mental.
“Bagi memastikan pendekatan yang tepat dan terselaras, beberapa siri perbincangan dilakukan dengan 70 pemimpin Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) peringkat zon dan sub-zon dalam Wilayah Persekutuan (WP). Keduanya, dengan NGO-NGO dan kumpulan pakar yang berpengalaman mengendalikan kes-kes masalah kesihatan mental di dalam masyarakat dan ketiga, dengan NGO-NGO dan pihak-pihak yang ingin memberi sumbangan bagi memastikan program-program yang ingin dilaksanakan dapat berjalan dengan lancar.
“Dalam perjumpaan secara maya itu, semua wakil MPP bertukar maklumat termasuk bagaimana MPP boleh memainkan peranan yang penting dalam mengenal
pasti pihak yang memerlukan bantuan segera dan berisiko menghadapi tekanan kesihatan mental. Semua pengerusi MPP juga menyatakan kesediaan untuk membantu penyampaian bantuan bakul makanan, penyelarasan senarai penerima bantuan, pengendalian dapur-dapur satelit dan bantuan kepada golongan yang terlantar di rumah mendapatkan vaksin,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, pelbagai cadangan telah diberikan termasuk antaranya untuk mewujudkan pusat kesihatan mental bergerak, penggunaan media sosial sebagai platform kesedaran kesihatan, menganjurkan webinar dan menyediakan akses kepada bantuan psikologi di peringkat awal gejala kesihatan mental.
“Bagi pertemuan dengan NGO, mereka ingin menyumbang tenaga dan dana dalam usaha-usaha membantu rakyat yang terkesan dengan pandemik Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pula, mereka bersetuju untuk menyokong inisiatif Rumah Prihatin, iaitu inisiatif terbaharu penyampaian bantuan kepada warga WP yang saya umumkan sebelum ini.
“Kementerian akan mempertimbangkan setiap cadangan yang dikemukakan MPP, pakar-pakar kesihatan mental dan semua NGO ini dan akan berusaha melaksanakannya secepat mungkin manakala usaha membantu warga WP akan sentiasa diperkasa dari semasa ke semasa dan penglibatan setiap anggota masyarakat dan golongan pakar amat penting bagi memastikan kemenangan bersama dalam perang melawan Covid-19,” katanya.










