KUBANG PASU: Jabatan Kesihatan Negeri Kedah mengesahkan kluster terbaharu di negeri ini iaitu Kluster Dah Kampung Kerchut di Jitra berpunca daripada pertemuan keluarga di kampung itu baru-baru ini.
Pengarah Kesihatan Negeri, Dr. Othman Warijo berkata, terdapat 23 kes baharu dilaporkan hari ini dalam kluster tersebut.
“Kita (Jabatan Kesihatan Negeri Kedah) sahkan mereka terlibat dalam majlis pertemuan keluarga.
“Oleh itu, saya berpesan supaya semua pihak mengelakkan pertemuan fizikal bersama ahli keluarga dan saudara-mara yang tidak tinggal serumah,” katanya ketika dihubungi di sini.
Di media sosial pula tular menyatakan Kluster Dah Kampung Kerchut itu berpunca daripada makan buah durian beramai-ramai.
Kenyataan dikeluarkan Kementerian Kesihatan hari ini menyebut, kes indeks bagi kluster tersebut merupakan kes bernombor 879403 melibatkan seorang lelaki warganegara Malaysia berusia 44 tahun.
Individu berkenaan dilaporkan positif Covid-19 pada 15 Julai lalu hasil saringan individu bergejala.
Kemunculan 23 kes hari ini menjadikan keseluruhannya terdapat 25 kes dalam kluster tersebut dengan 28 individu telah menjalani ujian saringan.
Sehubungan itu Othman berkata, orang ramai diingatkan supaya tidak ziarah-menziarahi bersempena Hari Raya Aidiladha tidak lama lagi.
“Jangan sesekali menerima kedatangan tetamu termasuk dalam kalangan ahli keluarga walaupun mereka tinggal berhampiran.
“Buat waktu ini, gunakanlah teknologi seperti media sosial dan kemudahan telekomunikasi sebagai medium berkomunikasi bersama ahli keluarga,” katanya.










