KULAI: Sebuah kilang menghasilkan komponen elektronik di Kawasan Perindustrian Senai di sini dikenakan kompaun RM10,000 serta diberi notis tutup kerana kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
Ketua Polis Daerah Kulai, Superintenden Tok Beng Yeow berkata, kilang berkenaan didapati melanggar SOP dengan gagal memastikan penjarakan fizikal antara pekerja khususnya di bahagian pengeluaran.
Katanya, notis tutup yang dikeluarkan adalah bagi tempoh tujuh hari bermula hari ini hingga 8 Julai.
“Bermula hari ini, kita akan melaksanakan operasi sempena Op Patuh bagi memastikan pihak majikan mematuhi SOP ditetapkan yang telah membenarkan mereka kekal beroperasi dalam tempoh ini.
“Operasi yang dijalankan hari ini mendapati sebuah premis kilang gagal mematuhi SOP dengan tiada penjarakan fizikal.
“Selain dikenakan kompaun RM10,000, notis tutup kilang juga dibuat bagi memastikan mereka menyemak semula persediaan untuk memastikan penjarakan fizikal dapat dilakukan dengan sebaiknya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengetuai serbuan yang dijalankan terhadap kilang berkenaan dan sebuah hostel penempatan pekerja asing di sini hari ini.
Operasi bersepadu itu turut melibatkan pelbagai agensi kerajaan antaranya Kementerian Kesihatan, Majlis Perbandaran Kulai dan Jabatan Tenaga Kerja Johor serta Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Johor.
Notis kompaun dan perintah tutup terhadap kilang berkenaan dibuat di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.
Tambah Beng Yeow, pihaknya akan terus melakukan operasi bagi memastikan masyarakat khususnya golongan majikan kekal mematuhi SOP ditetapkan dalam tempoh pandemik Covid-19 ketika ini.