PUTRAJAYA: Bilangan pesalah ingkar prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) di seluruh negara semalam merekodkan 441 individu ditahan dengan 423 dikompaun manakala 18 lagi direman.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, seramai 13 pendatang asing tanpa izin ditahan dan dua kenderaan darat disita melalui Operasi Benteng bagi mengekang jenayah rentas sempadan dan penularan Covid-19.
“Menyentuh isu kuarantin wajib, seramai 909 individu telah tiba di tanah air dengan kesemua mereka diarahkan menjalani proses mandatori itu di sejumlah stesen kuarantin.
“Sejumlah 9,213 individu terbabit masih lagi menjalani proses kuarantin wajib di sebanyak 81 hotel serta 11 buah institusi latihan awam dan swasta di seluruh negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna pula membuat pemantauan 11 jenis bekalan barangan di 640 peruncit, 162 pemborong dan 31 pengilang termasuk melakukan sejumlah 1,816 pemeriksaan khas pematuhan SOP dengan hanya tiga premis terbabit yang dikenakan kompaun.










