Kes ingkar SOP: 420 ditahan, 25 premis diarah tutup - Utusan Malaysia

Kes ingkar SOP: 420 ditahan, 25 premis diarah tutup

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Bilangan pesalah ingkar prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) di seluruh negara semalam merekodkan 420 individu ditahan dengan seramai 332 dikompaun, 82 direman dan enam dijamin.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sejumlah 25 premis juga diarahkan tutup oleh pasukan Task Force Operasi Pematuhan kerana ingkar SOP dan menyaksikan penurunan sedikit berbanding 38 premis yang direkodkan kelmarin.

“Pasukan itu melakukan pemeriksaan ke atas 1,556 kilang, 11,369 premis perniagaan, 416 tapak pembinaan dan 145 asrama pekerja,” kata beliau menerusi kenyataan di sini hari ini.

Lima pendatang asing tanpa izin turut ditahan dan sebuah kenderaan darat disita semalam melalui Operasi Benteng bagi mengekang jenayah rentas sempadan dan penularan Covid-19.

“Sebanyak empat buah bot atau kapal dicurigai turut dikesan berdekatan perairan negara kita menerusi enam aktiviti penglihatan yang dibuat pasukan keselamatan,” tegas Ismail Sabri.

Menyentuh isu kuarantin wajib, seramai 735 individu telah tiba di tanah air semalam dengan kesemua mereka diarahkan menjalani proses mandatori itu di sejumlah stesen kuarantin.

“Sejumlah 9,189 individu terbabit masih lagi menjalani proses kuarantin wajib di sebanyak 83 hotel serta 11 buah institusi latihan awam dan swasta di seluruh negara,” kata Ismail Sabri.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna pula semalam membuat pemantauan 11 jenis bekalan barangan di 552 peruncit, 150 pemborong dan 32 pengilang termasuk sejumlah 2,031 pemeriksaan khas pematuhan SOP dengan hanya lima premis terbabit yang dikenakan kompaun.

Beliau juga mengesahkan, dua orang daripada 44 pekerja asing disahkan positif Covid-19 di seluruh negara semalam setelah melalui ujian saringan wajib kelolaan Kementerian Sumber Manusia. – UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN