PETALING JAYA: Tidak disangka jangkitan baharu Covid-19 mencatatkan 11,079 kes sekali gus menjadi rekod paling tinggi sejak pandemik berkenaan melanda negara awal tahun lalu.
Meskipun kerajaan melaksanakan sekatan pergerakan penuh dan proklamasi darurat masih berkuatkuasa sehingga 1 Ogos depan, rekod hari ini nyata mengundang 1001 perasaan dalam kalangan pengguna media sosial.
Ini kerana, rata-rata orang ramai telah ‘berkurung’ di rumah masing-masing namun kes tetap meningkat malah dijangka menjadi lebih teruk dalam masa beberapa hari akan datang.
Semakan Utusan Online di laman sosial Facebook mendapati, ramai yang kecewa dengan rekod kes yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Malah, ada pengguna media sosial secara sinis mengucapkan tahniah dengan pelbagai langkah ‘terbaik’ yang digunakan selama ini untuk mengekang wabak.
“Pelan dan pendekatan yang TERBAIK. Teruskan,” kata pengguna media sosial, bernama Jit Aziz.
Sementara itu, seorang lagi pengguna Facebooknya, Ahmadseahbani bin Saari berkata, dia curiga dengan kes-kes harian yang semakin meningkat.
“Seperti ada sesuatu yang tidak kena dengan angka-angka yang kian melompat-lompat,” katanya.
Ada juga pengguna Facebooknya yang optimis dengan kes hari ini. Pengguna media Facebook bernama Bunga Raya berkata: Sabar adik-adikku sekalian, mungkin dalam masa dua atau tiga minggu lagu turunlah kes itu, kita doakan ya,”
Sementara itu, seoang lagi pengguna, Rosmiza Abraham berkata: “Sebagai suri rumah yang sudah lama kurungkan diri dalam rumah berharap sangat kes akan turun.
“Tapi kecewa dan marah kes semakin tinggi. Kenapa tak buat ‘total lockdown’ sahaja? Ya, saya tahu akan memberi kesan buruk pada ekonomi tapi selagi itu akan terus begini,” katanya. – UTUSAN ONLINE










