Kerja baik pulih 353 rumah terjejas ribut dimulakan minggu depan - Utusan Malaysia

Kerja baik pulih 353 rumah terjejas ribut dimulakan minggu depan

RASMAN Ithnain (kanan, berbaju putih) menyertai gotong royong perdana Bencana Alam Sedili bagi siri ketiga di Sedili Besar, Kota Tinggi, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Kerja-kerja membaik pulih sebanyak 353 buah rumah di tujuh kawasan yang rosak akibat kejadian ribut di Tanjung Sedili, Jumaat lalu bermula selewat-lewatnya minggu depan.

Proses pembaikan 13 buah rumah lagi yang terjejas teruk pula telah pun dimulakan selepas mendapat pembiayaan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar di bawah Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sedili, Rasman Ithnain berkata, kerja-kerja 13 daripada 366 rumah itu bermula pada hari yang sama ketika baginda mencemar duli melawat ke rumah penduduk terjejas akibat bencana itu.

“Bagi 353 rumah yang perlu dibaik pulih, pihak Majlis Daerah Kota Tinggi (MDKT), Pejabat Daerah dan Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora) kini sedang menyusun kos diperlukan menerusi mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD).

“Setelah mendapat tahu kos tersebut, pelaksanaan menggunakan sistem undi oleh kontraktor akan dilakukan tanpa sebut harga bagi membolehkan proses baik pulih akan menjadi lebih cepat menjelang Ogos,” katanya ketika menyertai gotong royong perdana Bencana Alam Sedili bagi siri ketiga di Sedili Besar, hari ini.

Beliau pada masa sama memaklumkan, Sekolah Kebangsaan (SK) Sedili Besar dan SK Sri Setia Jaya yang dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS) sejak Jumaat lalu telah ditutup pagi semalam.

“Penutupan dibuat apabila 11 keluarga yang dipindahkan ke situ bersetuju menumpang di rumah saudara mara mereka bagi mengelakkan risiko khususnya jangkitan Covid-19,” katanya yang turut meminta agar mangsa terlibat dapat bersabar sementara proses pembaikan dilakukan.

Sementara itu, sebanyak tiga siri gotong-royong telah dilaksanakan Pusat Khidmat Wakil Rakyat DUN Sedili termasuk hari ini yang tertumpu bagi membersihkan baki pokok tumbang melibatkan lebih 150 penduduk, petugas agensi kerajaan serta wakil badan bukan kerajaan.

Turut menyertai gotong-royong itu ialah kakitangan Pejabat Daerah Kota Tinggi, MDKT, Kejora, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Felda, pasukan polis selain sukarelawan dari Prihatin Johor dan Pertubuhan Kebajikan Anak Muda Sedili (PKAMS).

“Pembersihan kali ini menjadi lebih mudah selepas kerja-kerja utama yang melibatkan pembersihan pokok tumbang, saliran tersumbat dan atap rumah yang berselerakan telah dilakukan SWM Environment Sdn. Bhd. menerusi gotong-royong siri kedua bersama penduduk,” katanya. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN