'Kerajaan kita telus, boleh bahas dalam Sidang Khas Parlimen' - Utusan Malaysia

‘Kerajaan kita telus, boleh bahas dalam Sidang Khas Parlimen’

TAKIYUDDIN Hassan menunjukkan surat pemakluman Sidang Khas Parlimen ketika ditemui di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Kota Bharu, hari ini. - UTUSAN/ROSLIZA MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Ruang untuk perbahasan serta mengemukakan soalan disediakan dalam Sidang Khas Parlimen secara fizikal membabitkan 220 ahli Parlimen pada 26 Julai sehingga 2 Ogos ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, Yang Dipertua Dewan akan menentukan perincian lanjut, termasuk berapa lama tempoh perbahasan.

Katanya, ruang itu diharap dapat menepis kenyataan beberapa ahli Parlimen sebelum ini yang mendakwa sesi perbahasan ketika sidang khas, sekadar taklimat oleh pihak kerajaan.

“Ini menunjukkan kerajaan kita telus. Ahli Parlimen boleh mengambil bahagian dan memberi pandangan selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong supaya perkara ini dibincangkan di Dewan Rakyat.

“Sidang khas itu melibatkan lima menteri yang akan membentangkan tiga agenda, pertama, Proklamasi Ordinan Darurat dan kedua, Pilihan Raya Kecil (PRK) Gerik.

“Ketiga ialah penerangan menteri-menteri berkaitan masalah darurat dan juga situasi Covid-19 yang berlaku ketika ini,” katanya kepada pemberita selepas penyampaian bakul makanan di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Kota Bharu di sini hari ini.

Sebanyak 300 bakul diagihkan menerusi Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) kepada golongan yang memerlukan bagi meringankan beban mereka terkesan akibat pandemik.

Mengulas lanjut, Setiausaha Agung Pas itu memberitahu, kebenaran daripada Speaker untuk ahli Parlimen membuat perbahasan dan mengemukakan soalan adalah disarankan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri.

“Itu (perbahasan) ada dalam surat kepada Speaker Dewan Rakyat dan Dewan Negara yang jelas mengatakan Perdana Menteri meminta kebenaran membenarkan ahli Parlimen membahaskan isu asalkan tidak melanggar tatacara berbahas,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN