LUMUT: Tindakan Majlis Tertinggi (MT) UMNO menamatkan sokongan terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri semalam dikatakan keputusan yang sangat dinanti-nantikan akar umbi parti itu, khususnya di Kuala Kangsar.
Ketua Pemuda UMNO Kuala Kangsar, Mustafa Shah Abdul Hamid, ia berikutan kegagalan pentadbiran Kerajaan Perikatan Nasional (PN) terutama mengenai perkara melibatkan kebajikan rakyat menghadapi Covid-19 di samping pengurusan vaksin dan imunisasi yang terlalu perlahan.
“Kami percaya UMNO tidak lagi perlu berterusan menanggung kegagalan demi kegagalan yang dipamerkan oleh Tan Sri Muhyiddin yang dilihat mengambil kesempatan di kala kesulitan ini untuk memperkukuhParti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan kedudukan beliau sebagai Perdana Menteri.
“Kami juga percaya bahawa keputusan MT UMNO ini bertujuan menyelamatkan negara dan rakyat daripada terus diurus secara tidak berhemah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau yang juga Exco Pemuda UMNO berkata, puncak kepada kegagalan Kerajaan PN juga adalah kempen bendera putih yang tular baru-baru ini ekoran rakyat yang mengalami kesempitan hidup keterlaluan.
Menurut beliau, ia memperlihat berbilion-bilion ringgit pakej bantuan yang dirangka oleh Kerajaan PN tidak sampai kepada golongan yang terdesak malah membebankan rakyat dengan pelbagai polisi, peraturan dan birokrasi.
“Terima kasih kepada Datuk Seri Presiden (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) dan seluruh ahli MT kerana mendengar serta menghormati suara akar umbi UMNO dan seluruh rakyat Malaysia yang kecewa terhadap prestasi pentadbiran Kerajaan PN yang amat lemah.
“Semoga dengan pelantikan Perdana Menteri yang baharu secara sementara berupaya untuk menyusun semula agenda kebajikan rakyat dan menangani Covid-19 dengan memastikan proses vaksinasi disegerakan,” ujarnya.
Menurut Mustafa Shah, keputusan MT UMNO malam tadi juga adalah selaras dengan keputusan Perhimpunan Agung UMNO 2020 dan ia sentiasa konsisten dengan kehendak yang juga keputusan secara kolektif ahli akar umbi parti itu di seluruh negara. – UTUSAN ONLINE