KANGAR: Jumlah kenderaan memasuki negeri ini berkurangan susulan arahan merentas negeri dengan menggunakan surat kebenaran Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) tidak dibenarkan hingga Rabu depan.
Ketua Polis negeri, Datuk Surina Saad berkata, beliau dimaklumkan mengenai penurunan tersebut oleh Ketua Polis Daerah bagi tiga sekatan jalan raya (SJR) yang memasuki negeri ini dari Kedah iaitu di SJR Pauh, SJR Jelempok di Arau dan SJR kilometer 17 Simpang Empat di kawasan Kangar.
Menurut beliau, statistik sebenar jumlah penurunan kenderaan tersebut bagaimanapun hanya boleh diketahui tengah malam ini.
Pada kebiasaannya sekitar 3,000 hingga 3,500 kenderaan masuk ke negeri ini setiap hari. Kebanyakannya masuk pada waktu bekerja iaitu kira-kira 1,000 kenderaan di SJR kilometer 17 Simpang Empat, 1,200 hingga 1,300 di SJR Pauh dan 1,000 hingga 1,100 di SJR Jelempok.
“Tidak berlaku peningkatan sejak kebelakangan ini dan jumlah kenderaan yang masuk biasa sahaja. Selain itu, tiada juga kenderaan yang cuba masuk atau diarah patah balik kerana menggunakan surat MITI pada hari ini,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Sementara itu, beliau memberitahu, pihaknya akan mengetatkan kawalan di jalan tikus di Kuala Sanglang yang menghubungkan penduduk di Perlis dan Kedah dengan meletakkan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) yang bertugas secara tetap di kawasan tersebut bermula hari ini.
Menurutnya, pihaknya sudah memberi kelonggaran kepada penduduk setempat kerana memahami keperluan mereka untuk aktiviti harian seperti nelayan yang bot mereka berada di sebelah Kedah.
Bagaimanapun, katanya, masih ramai penduduk mengambil kesempatan dan terlalu bebas keluar masuk di situ.
“Dua anggota Rela diletakkan di lorong tikus tersebut bagi mengawal pergerakan dan keluar masuk penduduk. Untuk sebelah malam pula kita akan melihat pada keperluan kerana tiada aktiviti dan kedai yang dibuka pada sebelah malam.
“Tambahnya, laluan tersebut hanya dibuka untuk motosikal sahaja. Kami mendapat maklumat pada sebelah siang penduduk terlampau bebas keluar masuk di situ,” ujarnya.- UTUSAN