PUTRAJAYA: Mesyuarat Prosiding Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) diberi penjelasan berhubung peranan Kementerian Kewangan dalam menyediakan tatacara perolehan dan peruntukan bagi memudah cara dan menyegerakan pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).
Kementerian Kewangan dalam kenyataan berkata, ia disampaikan Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz; Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Asri Hamidon, dan pengurusan tertinggi kementerian itu berhubung perolehan vaksin bagi mencapai objektif imunisasi lengkap bagi penduduk Malaysia menjelang Oktober depan.
Katanya, antara langkah-langkah diambil kementerian itu termasuklah menurunkan kuasa kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) untuk memuktamadkan perolehan vaksin di peringkat Kementerian masing-masing.
“Selain itu, meningkatkan peruntukan bagi perolehan vaksin dan PICK daripada RM3 billion (komitmen diumumkan pada hujung 2020) kepada RM5.8 bilion seperti diumumkan melalui pakej PEMULIH pada Jun lalu.
“KKM dan MOSTI diberi kelonggaran untuk menguruskan perbelanjaan peruntukan berhubung pelaksanaan PICK tertakluk kepada siling peruntukan RM5.8 bilion yang diluluskan Kementerian Kewangan,” katanya hari ini.
Kementerian Kewangan juga memberi komitmen untuk terus memainkan peranannya menjayakan usaha PICK demi mencapai vaksinasi penuh penduduk dewasa.
Ia selanjutnya membolehkan pembukaan aktiviti ekonomi dan sosial berfasa selaras dengan Pelan Pemulihan Negara. – UTUSAN