PETALING JAYA: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengesahkan bahawa kelonggaran bagi individu yang melengkapkan dua dos suntikan vaksin Covid-19 diputuskan minggu depan.
Beliau berkata, perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Pemulihan Negara seiring dengan pembukaan lebih banyak sektor ekonomi terutama di Lembah Klang pada Fasa Kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Katanya, kelonggaran itu termasuk pergerakan untuk membeli-belah atau sekurang-kurangnya rentas daerah.
“Kita akan umumkan apakah kelonggaran-kelonggaran kepada mereka yang dapat dua dos ini supaya mereka tidak terus ‘terikat’.
“Perlu ada beberapa kelebihan untuk mereka,” katanya seperti dilaporkan Bernama hari ini.
Pada masa sama, Muhyiddin berkata, kerajaan sedang berusaha mempertingkat kadar vaksinasi di kawasan Lembah Klang untuk terus menurunkan kes Covid-19 di kawasan ini.
“Kita telah tubuh ‘task force’ antaranya bagi meningkatkan jumlah vaksinasi di kawasan Kuala Lumpur dan Selangor.
“Buat masa sekarang ada tiga juta bekalan vaksin untuk warga kawasan ini bagi memastikan penurunan dalam tempoh dua atau tiga minggu akan datang, supaya kawasan ini boleh masuk ke fasa dua dalam masa terdekat,” katanya. – UTUSAN ONLINE










