PASIR PUTEH: Sebanyak RM40 juta diperuntukkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri ini untuk mengurus bencana dan musibah dua tahun kebelakangan ini, termasuk menyalurkan bantuan kepada rakyat yang terkesan akibat Covid-19.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita negeri, Datuk Mumtaz Md. Nawi berkata, selain itu, peruntukan tersebut turut diagihkan sebagai bantuan kecemasan kepada 900 mangsa ribut di beberapa daerah baru-baru ini.
Kata beliau, tanggungjawab dipikul JKM bagaimanapun berdepan kekangan kerana hanya memiliki kira-kira 400 tenaga kerja pelbagai peringkat untuk digerakkan membantu rakyat di seluruh negeri.
“Kerajaan negeri turut memantau perkembangan ini dalam memastikan kakitangan JKM ini tidak berdepan dengan kepenatan melampau dalam melaksanakan tugas.
“Hanya 20 kakitangan JKM di setiap daerah dapat turun ke lapangan bagi membantu rakyat, selain turut mengurus pelanggan sedia ada, iaitu 40,000 orang penerima bantuan bulanan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Terdahulu beliau menyerahkan 1,800 bakul makanan untuk 14 kampung di kawasan Selising, di sini yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) hari ini.
Dalam perkembangan sama, Mumtaz berkata, Tabung Serambi Mekah setakat ini telah membelanjakan sebanyak RM1.4 juta bagi penyediaan 14,104 bakul makanan bagi memastikan rakyat di dalam kawasan PKPD tidak terputus bekalan.
Sementara itu, Pengarah JKM negeri, Said Sudip berkata, agihan bakul makanan kepada 18 lokaliti yang dikenakan PKPD di tujuh daerah di Kelantan akan dilaksanakan dengan adil mengikut senarai nama keluarga yang terlibat.
Menurutnya, pegawai JKM telah turun padang bagi menyemak senarai keluarga yang terlibat sebelum Pusat Operasi Kawalan Bencana (POKB) daerah masing-masing mengagihkan bantuan tersebut kepada para penerima.
“Penghantaran bekalan makanan dibahagikan kepada tiga fasa dan pihak kami mengalu-alukan sebarang sumbangan mana-mana pihak dalam bentuk barang makanan basah seperti sayur dan ikan,” katanya. – UTUSAN